BATANG KALI – Padah menongkah arus, seorang remaja cedera di kening dan lutut setelah motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
Pertembungan itu turut mengakibatkan seorang lagi penunggang motosikal cedera di bahagian dalaman badan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam kelmarin lebih kurang 50 meter selepas simpang empat Bandar Utama Batang Kali menghala Hulu Yam.
Seorang penjual lemang, Mat Nor Alias, 49, berkata, dia mendengar bunyi dentuman dan melihat dua orang terbaring di atas jalan manakala motosikal mereka terseret beberapa meter dari tempat kejadian.
“Saya berbual dengan rakan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman di seberang jalan dan melihat dua orang terlentang menahan kesakitan.
“Saya bergegas melihat kejadian dan mendapati kedua-dua mangsa adalah remaja yang tinggal di kawasan kampung berdekatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, salah seorang mangsa dikenali sebagai Mohd Fazli Shaari, 21, daripada Kampung Genting Permai manakala seorang lagi tidak dikenali tetapi dipercayai berasal daripada Kampung Sungai Masin.
Menurut beberapa rakan mangsa ketika ditemui di tempat kejadian, salah seorang daripada mangsa bertindak melalui haluan bertentangan kerana dikatakan enggan menggunakan laluan utama yang perlu melepasi lampu isyarat.
Sementara itu, orang awam yang simpati dengan nasib menimpa Mohd Fazli segera membawanya ke hospital menggunakan van untuk dirawat.