KUALA KUBU BHARU – Paras takungan air di Empangan Sungai Selangor di sini masih lagi tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun hujan lebat dilaporkan turun di kawasan sekitar empangan sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Mynewshub.my sekali lagi ke empangan itu petang semalam jelas menampakkan situasi yang agak cemas apabila paras takungan air masih tidak naik.
Malah, apa yang lebih membimbangkan ialah melalui pengamatan mata kasar, kapasiti air di empangan itu seolah-olah memperlihatkan penurunan.
Beberapa lokasi dalam empangan itu juga semakin kering dan ia ternyata berbeza dari keadaan sebelum ini.
Bagi memperlihatkan situasi terbaru, pihak kami telah mengambil beberapa gambar terkini untuk dibandingkan dengan keadaan minggu lalu.
Kini terpulang kepada pembaca untuk membuat penilaian terhadap gambar yang kami jamin tidak melalui sebarang proses pentindihan atau photoshop.
Selasa lalu, Mynewshub.my melaporkan kapasiti air Empangan Sungai Selangor telah menyusut sehingga ke tahap 52 peratus.
Empat sungai iaitu Sungai Selangor, Sungai Gerachi, Sungai Liut dan Sungai Chilling yang menjadi punca kepada bekalan air ke empangan itu juga semakin kering.
Tinjauan semalam juga memperlihatkan, aliran sungai-sungai tersebut masih tidak menunjukkan sebarang perubahan dan terus lesu.
Beberapa pakar meramalkan krisis air Lembah Klang menjadi kritikal menjelang tahun 2014.
Komitmen kerajaan Pusat adalah jelas untuk meneruskan rancangan seperti Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) bagi mengatasi krisis bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Namun, rancangan Kerajaan Pusat itu tidak mendapat kerjasama yang baik daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Laporan pakar menjangkakan bekalan air di ketiga-tiga kawasan terbabit akan meruncing menjelang tahun 2015 dan 2016 sehingga memungkinkan keadaan darurat sekiranya loji tersebut tidak dibina dengan segera.
Jika situasi semasa berterusan, krisis air yang melanda pada tahun 1997 dijangka akan berulang kembali.
Kejatuhan kapasiti air Empangan Sungai Selangor diakui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang merancang untuk mengadakan pembenihan awan dalam tempoh terdekat.
Situasi kehilangan air mentah dalam jumlah yang banyak di empangan berkenaan merupakan satu tamparan yang hebat kepada Khalid yang sebelum ini beriya-iya memperlihatkan kepada media bahawa empangan di negeri itu penuh.
Jadi, apakah penyusutan paras air itu satu petanda yang peningkatan permintaan air semasa tidak mampu ditampung oleh empangan terbabit?
Kalau dilihat Selangor telah mengalami pertumbahan yang pesat kebelakangan ini samada daripada segi populasi mahupun ekonomi. Air mentah yang keluar sudah semestinya meningkat bagi menampung pertumbuhan itu.
Musim kemarau yang berpanjangan disusuli dengan hujan lebat kini masih belum dapat mengembalikan keadaan asal di Empangan Sungai Selangor.
Perlu diingat yang Sungai Selangor membekalkan air kepada 60% rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan dan sekitar Lembah Kelang.
Daripada mana sumber air baru akan diperoleh untuk Selangor memandangkan pemindahan air dari Pahang sudah pun ditolak kerajaan negeri?
Kawasan tadahan air terakhir pun sudah dimajukan untuk Skim Sungai Selangor.
Persoalan yang timbul kini ialah, apakah kemampuan untuk membekalkan air terawat dalam jangka masa panjang dapat dipenuhi jika bekalan air mentah sendiri tidak cukup seperti yang dilalui Empangan Sungai Selangor pada masa sekarang.-Mynewshub.my