KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yakin menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Keyakinan tersebut dinyatakan oleh Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako di sini semalam.
Menurut Abang Johari, kesemua jentera pilihan raya telah diarah bersiap sedia menghadapi PRU13 bagi memastikan kesemua kerusi yang diperuntukkan kepada PBB dipertahankan daripada pencabar.
“Mesyuarat hari ini (semalam) adalah mengenai kawasan-kawasan Parlimen PBB yang akan dipertandingkan serta persiapan untuk Pilihan Raya Umum,” katanya ringkas sambil menambah maklumat lanjut akan dinyatakan pada taklimat malam ini (malam tadi).
Mesyuarat itu, semalam dipengerusikan oleh Presiden PBB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga merupakan pengerusi BN Negeri dan Ketua Menteri Sarawak.
Ditanya mengenai kemungkinan kesemua penyandang dikekalkan pada PRU13, Abang Johari berkata pengesahan akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan pengerusi BN Pusat.
“Kita tunggu pengumuman oleh Perdana Menteri… saya tidak tahu dan tidak boleh memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara ini sehingga diputuskan oleh Perdana Menteri,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut menafikan berlaku masalah di kerusi Parlimen Batang Lupar yang disifatkan oleh beliau sebagai masalah kecil yang tidak perlu dirisaukan.
Pada PRU12, tahun 2008, PBB menang di kesemua 14 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu.
Antara kerusi-kerusi tersebut adalah Batang Sadong, Betong, Santubong, Kota Samarahan, Batang Lupar, Mukah dan Limbang.
Kerusi-kerusi lain termasuk Petra Jaya, Mambong, Tanjung Manis, Sibuti Lawas, Igan dan Kapit.