Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah bukanlah perkara asing bagi kebanyakan rakyat negeri itu, sejak berbelas tahun lalu perkara itu memang membimbangkan mereka apatah lagi banyak kes jenayah yang terjadi sering kali melibatkan golongan pendatang haram ini.
Bancian terbaru merekodkan terdapat sejumlah 889,779 warganegara asing terutama dari Filipina dan Indonesia tinggal bertaburan di seluruh Sabah termasuk Labuan. 161,548 orang daripadanya ialah pendatang haram PATI yang telah direkodkan, anggaran tidak rasmi mungkin hampir sekali ganda tinggi mencecah 300,000 orang.
Jumlah itu juga tersebut tidak termasuk kira-kira 81,000 pelarian perang dari Selatan Filipina dan Cina-Indonesia yang merupakan pemegang dokumen IMM13 dan berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR).
Soal pelarian perang bukan satu pertikaian kerana ia sudah terletak dalam tanggungjawab pihak berkuasa memikul bebanan atas nama perikemanusiaan sesuai dengan tanggungjawab yang diserahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Yang menjadi rungutan ramai ialah kehadiran ramai pendatang haram PATI. Walau sudah acap kali permasalahan ini di adukan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, namun hanya sesekali sahaja serbuan dijalankan yang ada kalanya dilakukan sambil lewa dan tidak menyeluruh.
Di Lahad Datu masalah sama juga berlaku, ramai pendatang haram berkeliaran sana sini siap lengkap dengan penempatan setinggannya termasuklah di sekitar Kampung Felda Tanduo di mana puak pengganas Sulu sedang bersembunyi.
Malah sebahagian besar ahli kumpulan pengganas Sulu dari Filipina itu juga dilaporkan mempunyai saudara mara mereka di sana yang juga adalah pendatang haram dan turut terlibat menjadi mata dan telinga pengganas Sulu.
Sukar ditentukan sama ada pihak Imigresen masih tidur nyenyak dan terus lena dibuai mimpi indah atau sudah bingkas terjaga segera mengambil langkah susulan bagi menangani permasalahan ini.
Apa yang sedang berlaku di Lahad Datu sebenarnya tersirat banyak hikmah yang boleh diambil sebagai iktibar dan dijadikan pengajaran berguna, kesempatan dari kejadian itu sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan satu lagi proses pengusiran atas alasan keselamatan.
Jika dilihat pada rekod sebelumnya di mana pihak imigresen pernah bertindak agresif mengusir sejumlah 446,173 orang PATI sejak 1990, rasanya tiada alasan kenapa tindakan yang sama tidak boleh dilakukan.
Imigresen tidak boleh terus tidur atau sekadar bergoyang kaki melihat saja apa yang berlaku di depan mata, tanggungjawab kepada negara sewajarnya ditunaikan. Jika tidak sekarang bertindak tegas bila lagi? Jangan ditunggu kejadian sama berulang, bangkitlah segera demi untuk kebaikan semua.