Pasukan petugas Wanita Barisan Nasional (BN) akan berkunjung dari rumah ke rumah untuk mengingatkan para pengundi supaya tidak terpedaya dengan helah orang tidak dikenali yang didakwa akan cuba menggunakan dakwat kekal di jari pengundi.
Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya ada menerima laporan kononnya pembangkang cuba mewujudkan kekecohan menjelang pilihan raya umum dengan mengeksploitasi penggunaan dakwat kekal dengan berkunjung dari rumah ke rumah dan menjadikan pengundi wanita serta warga emas sebagai sasaran.
Beliau berkata, beberapa hari sebelum hari pengundian, mereka akan menemui golongan pengundi wanita warga emas kononnya hendak membantu menunjukkan cara menggunakan dakwat kekal memandangkan ia pertama kali digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Mereka akan mencalit dakwat pada jari pengundi berdaftar berkenaan dan jika dakwat itu tidak hilang dari jari mangsa sehingga hari mengundi kemungkinan besar pengundi yang menjadi mangsa akan hilang hak untuk mengundi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program aspirasi Sohonita yang merupakan program mendidik wanita menjadi usahawan secara dalam talian di sini Ahad.
Shahrizat berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar pada Ahad yang mendakwa parti pembangkang cuba mengajar kaum wanita kaedah mencalit dakwat yang hanya mampu hilang selepas seminggu dicalit di jari dalam usaha mereka menimbulkan kekecohan pada PRU-13.
Shahrizat juga berharap Suruhanjaya Pilihan Raya dapat memastikan tidak berlaku kecurian mahupun ketirisan dakwat kekal menjelang hari pengundian, dan berharap kaum wanita dan warga emas tidak menjadi mangsa taktik kotor pembangkang sehingga hilang hak untuk mengundi.
Beliau berkata, jika pengundi hilang kelayakan untuk mengundi kerana dicalitdakwat kekal itu, kekecohan boleh timbul di pusat mengundi dan matlamat pembangkang untuk menimbulkan kekecohan pada hari pengundian akan tercapai.
Mengenai program wanita bekerja dari rumah atau Sohonita yang dilancarkan Februari lepas, Shahrizat berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan.
“Program hari ini bertujuan menarik wanita golongan India yang memiliki kepakaran menjahit dan memasak untuk memulakan perniagaan secara dalam talian yang mampu meningkatkan pendapatan isi rumah tanpa perlu keluar bekerja,” katanya.
Beliau berkata, perniagaan dalam talian akan menjadi penyumbang utama ekonomi pada masa akan datang.
Sejak pelancarannya Februari lalu, laman web Sohonita sudah dilayari oleh 72,425 pengguna internet.