KLANG 1 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mempedulikan ugutan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu beliau ditangkap kerana menuduh Lim Kit Siang sebagai rasis.
Bekas Perdana Menteri berkata, beliau sedia ditangkap dan diheret ke mahkamah sekiranya Karpal mahu berbuat demikian.
“Dia hendak bawa saya ke mahkamah bawalah, saya tahu muslihat dia, macam Anwar Ibrahim juga.
“Tujuannya adalah untuk menutup mulut saya. Saya tidak hendak tutup mulut, saya hendak kata terus terang bahawa Kit Siang adalah rasis,” kata beliau. Beliau berkata demikian ketika berceramah di Klang Utama di sini malam ini.
Yang turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil, calon BN Parlimen Kapar, Sakthivel Alagappan, calon DUN Sementa, Md. Ghazali Md. Amin dan calon DUN Meru, Sukaiman Ahmad.
Dr. Mahathir menjelaskan, kenyataan beliau bahawa Kit Siang adalah rasis ekoran tindakanya bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor kerana percaya 53 peratus pengundi Cina akan menyokong DAP.
“Lihat dia terang-terangan pilih kawasan orang Cina ramai,” katanya.
Sedangkan kata beliau, masyarakat di Johor yang pelbagai kaum tidak pernah menolak BN sebaliknya bersatu memilih parti itu untuk menjadi sebuah kerajaan di negeri berkenaan.
“Kita tidak boleh tumpu satu kaum sendiri sahaja, kita kena berbaik-baik dengan semua kaum tetapi Kit Siang tak nak, dia bawa perkauman di Johor yang beri sokongan 100 peratus kepada BN. Sebab itu saya kata dia rasis,” katanya.
Beliau mengingatkan agar Karpal jangan bersikap terlalu sombong kerana orang tidak akan suka.
“Beza antara BN dan pakatan pembangkang cukup ketara. BN suka kerjasama kaum dan kongsi kuasa serta kekayaan.
“Kita Siang hanya perjuang kaum dia saja, Pas untuk dia saja dan Anwar untuk diri dia saja, itu pakatan. Mereka bukan hendak pakat tetapi hendak tipu rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir meminta rakyat membuat pertimbangan yang waras dan tidak mengikut emosi dalam membuat pilihan semasa pilihan raya umum kali ini.
Beliau tidak mahu rakyat tertipu dengan orang yang bersikap seperti Kit Siang yang suka kepada pecah belah supaya mereka dapat undi.
“Fikirlah dengan mendalam. Saya yakin rakyat akan memilih BN kerana telah membawa keamanan dan banyak nikmat,” katanya.