ALOR SETAR: Selepas lebih seminggu menyertai PAS, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa rakyat wajib mengundi calon pakatan pembangkang yang diyakini lebih berwibawa untuk menerajui kepimpinan negara.
Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu, pencapaian yang ditunjukkan pakatan pembangkang di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sejak 2008 membuktikan mereka layak menerajui kerajaan Persekutuan.
“Sudah lama sangat BN (Barisan Nasional) perintah negara ini. Kalau ikut graf, pencapaian mereka sudah pun mendatar…tak ada peningkatan.
“Jadi sudah sampai masanya agar kepimpinan baru daripada Pakatan Rakyat diberi peluang untuk laksankan kerja bagunkan negara. Kumpulan itu (BN) sudah tak boleh buat kerja, wajib rakyat bagi kerja ini (undi) kepada Pakatan Rakyat,” katanya ketika berceramah di Taman PKNK di sini.
Muhammad yang juga bekas Naib Presiden Umno mengumumkan menyertai PAS pada pada 22 April lalu iaitu dua hari selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Beliau kini dalam siri jelajah seluruh negara sebagai penceramah pakatan pembangkang khususnya PAS.
Selain itu katanya, pakatan yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP dilihat sebagai satu gabungan yang mantap walaupun setiap parti mempunyai fahaman dan ideologi tersendiri.
Jelas beliau, keterbukaan setiap parti menegur antara satu sama lain walaupun secara terbuka menunjukkan pemimpin mereka memainkan peranan yang aktif dalam menentukan hala tuju pembangunan negara.
“Setiap parti ada pemimpin yang berwibawa. Saya tengok keunikan Pakatan Rakyat ini ialah mereka tegur sesama mereka.
“Ini menunjukkan ada cross check (silang semak) antara mereka yang saya percaya dibuat demi kebaikan rakyat,” katanya.