Rakyat berhak mengetahui apa yang dibincangkan oleh seorang pemimpin pembangkang dengan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di sebalik insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu yang mengorbankan 10 anggota keselamatan dan menimbul kesusahan kepada rakyat.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, namun sehingga kini tiada sebarang kenyataan dibuat bagi memperjelaskan hasil pertemuan sulit itu yang menimbulkan tanda tanya itu.
Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat ternanti-nanti untuk mengetahui perkara yang diperbincangkan itu dan mereka wajib mengetahuinya apabila ia berkait dengan keselamatan rakyat di mana sahaja.
“Ada pemimpin pertama mereka (pembangkang) telah mengadakan pertemuan sulit empat mata dengan seorang yang tak senang hati dengan Malaysia. Tapi sampai hari ini, belum ada apa-apa kenyataan yang memperjelaskan apa yang dibincangkan oleh mereka,” kata Najib.
Perdana Menteri menyatakan perkara itu ketika berucap pada majlis Pertemuan Dengan Anggota Rela Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota dari seluruh negeri ini.