Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak masyarakat Cina supaya terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang terbukti berjaya membawa kemakmuran dan keamanan kepada negara.
Bekas perdana menteri itu berkata BN juga terbukti memainkan peranan dengan cemerlang serta menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dengan berteraskan prinsip perkongsian kuasa tanpa menyisihkan kaum tertentu.
“Prinsip ini membolehkan rakyat sama ada Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum lain mendapat nikmat hasil kemajuan dan kekayaan negara selama lebih 50 tahun.
“Saya harap kita kekalkan kerajaan BN supaya perkongsian kuasa ini akan menjadi negara ini lebih maju dan makmur,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 hadirin pada majlis Makan Malam 1Malaysia anjuran Gabungan Persatuan Kebajikan Cina Hua Heng di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Hwa di sini malam Jumaat.
Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir serta calon BN bagi kawasan Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Dr Leong Yong Kong.
Sambil meminta masyarakat Cina tidak terpengaruh dengan dakyah DAP yang cuba menimbulkan sentimen kebencian antara orang Melayu dan Cina, Dr Mahahtir berkata rakyat akan terus menikmati kemakmuran hasil perpaduan yang utuh.
Beliau berkata slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa masuk oleh People Action Party (PAP) dari Singapura dan diperjuangkan DAP, hanya merosakkan perkongsian kuasa dan hubungan antara kaum di Malaysia.
“Hubungan orang Melayu dan Cina amat akrab tetapi DAP membawa budaya politik tidak sihat dengan memainkan isu-isu sehingga dua kaum ini bermusuhan. Politik sebegini berbahaya kerana menggugat perpaduan kaum. “Konflik yang timbul akibat permusuhan akan menjejaskan kemakmuran dan memusnahkan masa depan negara. Apabila perkara ini berlaku, tiada siapa dapat hidup dengan aman,” tambahnya.
Beliau yakin Kedah akan berkembang lebih pesat dari segi ekonomi sekiranya BN kembali memerintah selepas pilihan raya ini. “Saya yakin BN berupaya bawa Kedah lebih pesat membangun dan rakyat pelbagai kaum termasuk orang Cina akan mengecapi kehidupan lebih makmur dan baik,” kata Dr Mahathir.