15 orang cedera termasuk lima daripadanya parah apabila sebuah bas ekpress terbabas sebelum merempuh tiang konkrit besi papan tanda lebuh raya di Selangor awal pagi tadi.
Pemandu bas yang cedera parah tersepit di tempat duduknya, berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
Kemalangan berlaku kira-kira jam dua pagi tadi di kilometer 20, Lebuh Raya Elite arah utara.
Bas ekpress ini dalam perjalanan dari Singapura menuju Ipoh dan Pulau Pinang.
Ia membawa 17 penumpang dan seorang pemandu tambahan.
Bas ini dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya.
Ia kemudian merempuh besi penghadang jalan dan terhumban ke bahu jalan.
Bas ini kemudian merempuh pula dua batang konkrit besi tiang penyokong papan tanda lebuh raya.
Rempuhan kuat menyebabkan pemandu bas tersepit di tempat duduknya.
Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira sejam kemudian dengan bantuan anggota bomba.
Lima penumpang dilaporkan parah.
Semua mangsa dihantar ke Hospital Serdang dan Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Polis sedang menyiasat punca sebenar kemalangan.