Seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, Md Ali Md Salim, 30, sempat memuat naik video terakhir dalam akaun laman sosial Instagram miliknya ketika berada di tempat duduk pesawat itu sebelum berlepas.
Video dengan nama akaun “Bismillah…#hatiadasikitgentar”.
Dalam video itu juga kelihatan beberapa penumpang serta seorang pramugari MAS, sedang sibuk menyimpan barang-barang di ruang bagasi bagi bersiap-sedia untuk berlepas.
Rakannya, Mohd Zaem Nordin, 24, yang berkongsi video itu dalam akaun Instagramnya tidak menyangka Md Ali berada dalam pesawat malang itu.
“Apabila saya melihat videonya yang dimuat naik kira-kira 15 jam lalu, saya sangat terkejut dan tidak menyangka beliau berada dalam pesawat itu,” katanya.
Menurut Mohd Zaem, Md Ali sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang psikologi di sebuah universiti di Armsterdam, dijangka menamatkan pengajiannya tahun hadapan.
Dia yang kali terakhir berhubung dengan Md Ali pada 25 Jun lalu dalam laman sosial Facebook berkata, “Kami sentiasa berhubung melalui Facebook dan kali terakhir itu beliau menyatakan hasrat kepada saya untuk pulang beraya bersama anggota keluarganya pada tahun ini.
“Saya tidak sangka hasratnya itu tidak kesampaian dan video itu merupakan video terakhir beliau, ” katanya.
Mohd Zaem, yang mengenali Md Ali sejak 2010 menyifatkan beliau seorang yang periang dan suka mengambil berat akan rakan-rakannya.
“Kami mula kenal ketika beliau bertugas sebagai Felo di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) cawangan Kuala Lumpur dan beliau sangat peramah dan disenangi ramai,” katanya.
Penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang pada 6.10 pagi Jumaat.