TAIPEI: Ribut petir yang melanda akibat Taufan Matmo dipercayai menjadi punca pesawat Taiwan terhempas sehingga mengorbankan 48 orang, menurut syarikat penerbangan berkenaan.
Nahas pesawat dalam penerbangan dari Kaohsiung di selatan Taiwan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Taufan Matmo membadai Taiwan.
Penerbangan ATR-72 milik TransAsia Airways yang membawa 58 penumpang dan kru itu terhempas apabila melakukan pendaratan cemas di Pulau Penghu di Selat Taiwan yang terletak antara negara itu dengan China, malam Rabu.
“Mengikut apa yang kami faham setakat ini, kejadian itu berlaku akibat cuaca buruk yang dipengaruhi taufan berkenaan,” kata wakil TransAsia, Phoebe Lu.
Mangsa yang maut termasuk 46 warga Taiwan dan dua penuntut perubatan Perancis yang menjalani kerja amali di Taiwan.
Terdahulu, kira-kira 200 penerbangan di Lapangan Terbang Taiwan terpaksa dibatalkan berikutan hujan lebat dan angin kuat.
Biro Kajicuaca Pusat Taiwan memberi amaran mengenai hujan lebat melanda negara itu walaupun selepas Taufan Matmo membadai dan menghala ke barat China.