MIRI: Seorang kerani pentadbiran mendakwa kerugian RM348,050 akibat diperdaya seorang rakan lelaki yang dikenali melalui Facebook sejak Januari 2014.
Wanita berumur 52 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 4.08 petang semalam mendakwa telah membuat 13 transaksi di pelbagai bank secara beransur-ansur, kata Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee.
Beliau berkata polis akan mendapatkan penyata bank milik mangsa dan meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk menyiasat kes itu.
“Jangan mudah percaya kenalan melalui Facebook, lebih-lebih lagi yang menjanjikan memberi pulangan keuntungan tinggi serta lumayan, ini modus operandi menipu,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.
Gan berkata, wanita itu berkata rakan lelaki yang mendakwa warga Britain memaklumkan akan menghantar 120,000 pound (RM632,400) yang diwarisi daripada bapanya, secara pos ke Malaysia dan wang itu kononnya untuk menjalani kehidupan bersama-sama dengan mangsa.
Katanya pada 10 Julai lepas seorang wanita yang mendakwa warga Britain menghubungi mangsa dan memberitahu wang itu telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Gan berkata, wanita tersebut meminta mangsa membayar yuran pos sebanyak RM6,450 dan mangsa telah mendeposit wang tersebut dalam akaun bank yang diberikan wanita itu.
Beliau berkata, mangsa sekali lagi dihubungi wanita berkenaan untuk menambah bayaran dengan mendakwa untuk tujuan bayaran yuran peguam bagi mendapatkan sijil untuk membolehkan mendapatkan wang berjumlah RM632,400 itu.
“Mangsa dihubungi lelaki tersebut pada 18 Julai lepas dan mendakwa telah tiba di Kuala Lumpur serta meminta mangsa membuat pembayaran cukai (bagi mendapatkan wang itu),” katanya.
Wanita itu membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu, katanya.
Gan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.