Lembaga Disiplin UMNO memecat keahlian tiga ahli parti Bahagian Maran, Pahang atas kesalahan melanggar disiplin serta mensabotaj parti.
Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, salah seorang daripada mereka dipecat atas kesalahan berceramah di atas pentas PKR.
Manakala dua lagi kata Perdana Menteri kerana didapati bersalah memegang keahlian dalam dua parti berbeza.
“Keputusan Lembaga Disiplin memecat mereka telah disahkan oleh Majlis Tertinggi UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di ibu negara, Selasa.
Mereka ialah Mohd Zamri Sham dari Kampung Sekara, Maran kerana berceramah di atas pentas PKR dan memburukkan UMNO.
Mohd Khiri Dahlan dari Taman Sri Keramat, Maran dan Ahmad Shukor Awang juga didapati bersalah dan dipecat daripada parti kerana mengaku mempunyai dua keahlian iaitu UMNO dan PKR.
Bagaimanapun, katanya kes ahli UMNO mempunyai keahlian parti lain bukan meluas.
Dalam pada itu, Najib menegaskan bahawa kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor baru-baru ini harus dikaji bagi menentukan kejayaan berterusan parti berkenaan.
“Kita ambil maklum kejayaan di Pengkalan Kubor… kemenangan ini mesti dikaji sebagai template untuk menentukan kejayaan secara berterusan (BN pada pilihan raya akan datang),” katanya.