“Lutut saya bergetar dan saya tidak boleh berdiri atau duduk selepas membaca surat bahawa saya telah gagal ujian doping, “kata Datuk Lee Chong Wei, kepada blogger sukan terkenal Malaysia Satwant Singh Dhaliwal.
Sebelum ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin enggan menamakan individu yang gagal ujian tersebut adalah Chong Wei.
Mereka terikat dengan peraturan… tapi ia merupakan rahsia umum bahawa individu itu Chong Wei yang dilaporkan media seluruh dunia.
Untuk rekod ini merupakan kali pertama jaguh badminton negara itu bercakap mengenai situasi beliau selepas gagal ujian doping September lalu dan berkongsi cerita tersebut di facebook rasminya https://www.facebook.com/leechongweiofficial.
Pemain nombor satu dunia itu, yang disahkan positif dalam sampel B ujian antidoping Jumaat lepas kerana menggunakan bahan terlarang jenis ‘dexamethasone’, mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya atas sokongan tidak berbelah bahagi pada masa sukar ketika ini.
“Ada begitu banyak persoalan yang tidak dijawab dan saya harap untuk membersihkan nama saya dalam masa terdekat. Saya tidak sama sekali menipu atau bergantung kepada bahan-bahan larangan,” katanya.
“Saya melihat ke belakang, seluruh 15 tahun yang yang saya lalui (sebagai pemain badminton) menjadi asap. Saya sangat terpukul dan hanya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Saya tidak pernah menipu dan tidak pernah membuat sebarang percubaan untuk menipu dengan demikian ini adalah seperti panahan kilat, memusnahkan semua kerja keras saya selama ini.
“Saya sangat percaya kepada kerja keras dalam usaha untuk mencapai kejayaan sehingga apabila berdepan tuduhan (seperti ini) saya kelu dan tercengang.”
Ketika berdepan situasi kalut ini, Chong Wei menceritakan isterinya Wong Mew Choo mencadangkan supaya mereka berehat di luar negara untuk menjernihkan fikiran dan membiarkan pihak berkuasa menyiasat perkara ini.
“Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) memberi perhatian langsung berkaitan kes ini, saya bersyukur kerana dia membimbing saya dan memberi nasihat yang baik tentang bagaimana untuk menangani masalah yang timbul,” kata Chong Wei.
“Saya diberitahu bahawa dadah itu disuntik pada saya pada 18 Julai dan bagaimana kesannya masih ada sehingga bulan Ogos adalah sesuatu yang saya tidak dapat jelaskan.
“Cukuplah untuk mengatakan saya tidak pernah mengambil ubat-ubatan di luar dari yang ditetapkan kepada saya dan menafikan cadangan yang saya mengambil herba tradisional yang mengandungi bahan yang dilarang.
“Saya telah melalui satu daripada ujian persaingan pada 15 Ogos dan dan ia bersih. Oleh itu, ia satu misteri mengapa bahan ini didapati dalam badan pada 30 Ogos.”
Ikon negara itu berkata banyak kali beliau mahu membuat kenyataan terbuka tetapi memilih untuk menunggu sehingga sampel B diuji.