Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak sepatutnya membuat andaian berhubung kebimbangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap kesan negatif pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, bantahan yang disuarakan oleh Abdul Hadi itu tiada kaitan dengan dakwaan kononnya Pas tidak yakin akan menang sekiranya pilihan raya PBT dilaksanakan.
Beliau menegaskan, Kit Siang perlu memahami kebimbangan sebenar Abdul Hadi tentang natijah buruk yang akan menimpa negara sekiranya hanya satu kaum yang memonopoli kemenangan dalam pilihan raya PBT.
“Saya difahamkan, bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Georgetown, Johor Bahru dan Melaka menjadi idaman DAP untuk dimonopoli.
“Perkara inilah yang membimbangkan Presiden Pas kerana dikhuatiri akan mengeruhkan hubungan antara kaum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Kit Siang menyifatkan bantahan Abdul Hadi bukan sahaja menunjukkan beliau tidak yakin Pas akan memenangi pilihan raya PBT malah, tidak selaras dengan hasrat pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Mahfodz yang juga Ahli Majlis Syura Ulama Pas turut mengingatkan DAP agar jangan memaksa parti-parti lain dalam pakatan pembangkang untuk mengikut telunjuknya.
“Pelaksanaan pilihan raya PBT mesti disepakati oleh ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang,” ujarnya.