Kurang 24 jam menjelang keputusan kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dikhabarkan berada dalam keadaan baik dan bersiap-sedia untuk menerima keputusan muktamad.
Peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohd Saiful berkata, keadaan anak guamnya pada masa ini adalah ‘seperti biasa’ dan bersedia berdepan keputusan yang bakal diumumkan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan.
“Dia (Mohd Saiful) OK…dan berserah kepada Allah.
“Dia bersedia menghadapi apa jua kemungkinan keputusan,” katanya.
Zamri berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan selepas kes berlanjutan selama hampir tujuh tahun.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan berdasarkan undang-undang, keterangan dan hujahan yang telah dikemukan oleh semua pihak,” katanya.
Ditanya sama ada beliau ada memberikan nasihat khusus untuk Mohd Saiful sebagai persediaan menhadapi hari penentuan, beliau berkata: Tak ada, kami berhubung seperti biasa sahaja.
Sementara itu, dua hari sebelum keputusan diumumkan, Mohd Saiful menulis di blognya bahawa kebenaran ini penting dan amat bermakna buat dirinya dan keluarga kerana ia melibatkan maruah dan masa depan.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini beliau tetap Istiqamah, dan tidak pernah menyesal dengan tindakan melaporkan perkara ini.
Mengenai keyakinan sama ada keputusan memihak kepadanya atau sebaliknya, Mohd Saiful menjelaskan, dia bersedia berdepan ‘worst case scenario’.
“Sebagai pengadu dan rakyat kecil, saya berkeyakinan penuh bahawa Mahkamah Persekutuan akan memutuskan kes ini dengan bebas, seadil-adilnya mengikut undang-undang, bukti-bukti dan semua keterangan sepanjang perbicaraan.
“Jika ditakdirkan keputusan nanti tidak berpihak kepada saya, saya akan tetap Istiqamah dengan kebenaran ini walau betapa perit sekalipun untuk ditanggung, kerana saya yakin bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi hambaNya yang tegakkan kebenaran. Pasti ada hikmahnya. Jika tidak didunia, di Masyar pasti…,” katanya.
Pada Selasa, mahkamah tertinggi di negara ini akan menyampaikan keputusan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas, selepas ia mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya.
Sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan lucut kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa seorang ahli Parlimen akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.