Barisan Nasional (BN) mengumumkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin, 62, sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah Utama PRK Parlimen Rompin membuat pengumuman itu di Dataran Muadzam Shah, Sabtu.
Turut hadir, Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan kepemimpinan UMNO Pahang dan bahagian.
Hasan yang berasal dari Kampung Ayau, Leban Chondong pernah menjadi Timbalan Menteri Besar dari tahun 1995 sehingga 1999.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tioman dan Bukit Ibam selama empat penggal bermula 1990.
PRK Rompin ditetapkan 5 Mei ini manakala hari penamaan calon pada Rabu depan.
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 Mei lalu.