Sebanyak 104 rakyat Malaysia yang terkandas di Kathmandu, Nepal selamat tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, dekat sini, awal pagi Rabu.
Kesemua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, semalam (28 April) dengan menaiki pesawat C-130 milik TUDM.
Hadir menyambut ketibaan mereka adalah anggota keluarga dan sahabat handai yang mula berkumpul di pangkalan TUDM sejak petang Selasa.
Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya, Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu. Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.
Setakat ini, tragedi gempa bumi paling buruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu, dilaporkan telah mencatat kira-kira 5,000 kematian dan lebih 8,000 orang cedera.