Pasir Puteh: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui dalam keadaan melecur 50 peratus dipercayai akibat dibakar sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian di kebun kelapa sawit di Jalan Kebun Cherang Tuli, di sini, 6 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.12 petang dan segera ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kita dapati lelaki itu terbakar 50 peratus dan nazak sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian.
“Ketika itu api di tubuh mangsa sudah padam, tetapi api masih membakar pelepah kelapa sawit yang dipercayai digunakan untuk membakar mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Puteh untuk dibedah siasat.