Kuala Kubu Bharu: Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya dan seorang lelaki parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Kubu Bharu-Rasa di sini pagi tadi.
Dalam kejadian 9.50 pagi itu, Perodua Kembara dinaiki mangsa, Siti Rogayah Ishak, 72, yang dipandu suaminya, Nordin Mohd Daud, 79, dari arah Rasa ke Kuala Kubu Bharu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan.
Seorang saksi berkata, ketika kejadian dia yang memandu Naza Ria dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Desa Rening Jaya selepas menghantar ibunya di Kuala Kubu Bharu.
“Sampai di satu selekoh saya nampak kereta jenis Perodua Kembara bergerak dalam keadaan bergoyang ke kiri dan kanan lalu masuk ke laluan saya. Saya cuba elak tetapi terbabas.
“Ketika itu sebuah Nissan Serena mengekori rapat di belakang dan gagal mengelak Perodua Kembara itu lalu bertembung,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Md Razi Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.59 pagi dan tiba beberapa minit kemudian.
“Tiba di lokasi seorang wanita tersepit di tempat duduk penumpang hadapan. Anggota bomba membawa keluar mangsa melalui pintu pemandu.
“Sementara itu mangsa yang juga pemandu tersepit serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.