Akta Hasutan akan digunakan terhadap mereka yang merosakkan keharmonian kaum dalam insiden Plaza Low Yat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib meluahkan rasa kecewanya terhadap kejadian yang berlaku di Plaza Low Yat dan komen-komen di media sosial.
“Rakyat tidak seharusnya mencetuskan ketegangan kaum menerusi Internet atau aplikasi mesej melalui telefon.
“Saya mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk memantau mereka secara menyeluruh dan pada masa sama saya akan menggunakan akta yang berkaitan, terutama Akta Hasutan, terhadap mereka yang merosakkan keharmonian kaum,” kata Najib dalam kenyataan bahasa Mandarin di Facebook.
“Mengenai insiden Low Yat di Kuala Lumpur yang menjadi pergaduhan, ia kemudiannya diperbesarkan sehingga menjadi isu perkauman.
“Saya kecewa dengan keadaan ini. Polis telah mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah ini dan juga yang membuat kekecohan. Semua pihak perlu menghentikan menyebarkan khabar angin dan merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak polis,” kata Najib.