Polis sudah mendapatkan keterangan daripada bekas pengarang Sarawak Tribune Lester Melanyi berikutan pendedahannya berhubung komplot oleh pembangkang dan pengendali laman web Sarawak Report untuk memburukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata pegawai dari Bukit Aman berada di Kuching pada 17 dan 18 Julai untuk merakamkan kenyataan Melanyi dan polis Sarawak membantu proses yang dikendalikan sepenuhnya oleh Bukit Aman itu.
“Mereka juga telah merampas beberapa peralatan komputer. Tiada tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Baru-baru ini Melanyi mendedahkan hampir 90 peratus kandungan laporan Sarawak Report berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Najib.
Melanyi turut mengakui menemui bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd Xavier Andre Justo, yang menyerahkan 10 peratus dokumen berkaitan 1MDB kepada pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.