LANGKAWI: Tindakan menggunakan perkataan tidak sesuai atau bahasa kesat untuk menegur pucuk pimpinan parti tidak seiring dengan budaya dalam UMNO, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata, UMNO mengamalkan budaya dan nilai yang tinggi yang menjadi tunjang kepada kelangsungannya selama ini.
“Itu (teguran menggunakan bahasa kasar) bukan budaya UMNO. Itu budaya samseng atau budaya yang asing daripada UMNO,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang perwakilan Wanita UMNO Langkawi yang menggunakan bahasa kesat semasa mengkritik Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.
Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata UMNO tidak pernah menghalang anggotanya mengkritik kepimpinan parti bagi memastikan kekukuhan parti tetap terpelihara namun perlu menggunakan bahasa sesuai.
Katanya, kerisauan dan kegelisahan yang dialami anggota UMNO masa kini berhubung polemik politik semasa tidak seharusnya mendesak mereka melangkaui batasan sehingga boleh memporak-perandakan parti.
Abdul Rahman berkata, mereka perlu berfikir secara rasional dan tidak mudah mempercayai tohmahan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan.
Katanya, isu-isu yang dihadapi sekarang mengambil masa untuk diselesaikan dan meminta setiap anggota UMNO agar tidak gelojoh untuk mendapat jawapan ke atas semua isu itu secepat mungkin.
Di KUANTAN, Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) dan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menggesa pemimpin dan anggota parti supaya aktif mendekati golongan pengundi ‘atas pagar’ bagi memastikan mereka memilih UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Menteri Besar Pahang itu berkata UMNO dan BN memerlukan sokongan pengundi atas pagar kerana ia dapat meningkatkan bilangan undi sekaligus menentukan kemenangan parti berkenaan pada pilihan raya umum kelak.
Menerusi kajian, pengundi atas pagar kini meningkat kepada 70 peratus berbanding 30 peratus pada pilihan raya umum yang lepas, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar hari ini.
Ketika diminta mengulas penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang diumumkan perdana menteri semalam, Adnan berkata penubuhannya sangat dialu-alukan kerana ia baik untuk parti.
“Penubuhannya (JKNMPP) sudah lama diuar-uarkan tapi sebelum ini tidak ada siapa yang nak menyokong. Sekarang dah tertubuh, benda yang baik (kepada parti) kenalah sokong,” katanya.
Di TAWAU, Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh menggesa semua anggota dan pucuk pempinan parti agar kembali mengukuhkan perpaduan supaya UMNO terus kukuh demi masa depan bangsa Melayu dan negara.
Beliau berkata mereka juga perlu bersatu tenaga dalam menangkis tohmahan daripada pelbagai pihak di dalam dan luar negara yang berniat jahat untuk memporak-porandakan negara ini.
“Musuh-musuh negara sentiasa cuba mengintai ruang untuk mewujudkan situasi tidak selesa di negara ini,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tawau hari ini.
Sehubungan itu, katanya rakyat perlu bersatu padu dan menyerahkan kepada kebijaksanaan kerajaan dan pihak berkuasa untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dalam ucapannya berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan perlu terus diperkukuhkan demi kepentingan rakyat.
Katanya, rakyat dan pemimpin di Sabah tidak boleh merenggangkan diri dengan kerajaan pusat kerana tempiasnya sudah tentu dirasai oleh rakyat.
“Sejarah pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika pemerintahannya di luar Barisan Nasional, rakyat menerima tempiasnya dan negeri hampir muflis kerana kekurangan kewangan,” katanya.
Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata, selepas UMNO mengambil alih pemerintahan negeri dan PBS kembali ke pangkuan BN, ekonomi negeri kembali pulih sedikit demi sedikit dan kini Sabah begitu pesat membangun.