Sebuah portal membuat pendedahan mendakwa terdapat penglibatan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pengasas Sarawak Report, Claire Brown dalam usaha menjatuhkan kerajaan dipimpin Datuk Seri Najib Razak.
Portal itu turut memperincikan dakwaan kronologi pertemuan bekas kakitangan PetroSaudi, Xavier Justo yang mencuri data daripada majikannya sebelum memeras syarikat itu sebanyak 3.5 juta matawang Swiss.
“Data itu bukan dicuri atas dasar moral tetapi untuk memperoleh wang dengan menjual maklumat sulit kepada pihak berminat,” tulis portal itu.
Berikut adalah kronologi dipapar di portal itu:
July 2013:
Xavier Justo menghubungi Patrick Mahony daripada PetroSaudi dan memeras 3.5 juta Swiss France (kira-kira RM14 juta) sebagai bayaran untuk pemulangan data yang dicuri. Pemerasan itu berlanjutan selama lima bulan seterusnya sementara Justo mengugut akan menjual data itu kepada pihak yang berminat jika Mahony enggan membayar.
Oktober 2013
Justo bertemu Mahony di Shangri La Hotel di Bangkok, Thailand di mana Justo telah mengugut Mahony secara lisan, jika PetroSaudi tidak membuat pembayaran untuk data dicuri, ia akan dijual kepada pihak berminat dan ia akan menjejaskan syarikat itu. Bagaimanapun, PetroSaudi enggan membayar dan Mahony turut memberitahu Justo, syarikat tidak melakukan apa-apa kesalahan dan data dicuri tidak menunjukkan sebarang salahlaku.
Mei atau Jun 2014
Justo menghubungi Claire Brown melalui telefon dan pada masa ini, Brown tidak mahu dikenali hanya menyebut dia berminat terhadap data yang dicuri Justo dan mencadangkan satu pertemuan di Bangkok. Mereka bertemu kira-kira jam 10 pagi di Plaza Athene dan selepas itu, Brown dirujuk sebagai ‘Athene Ban’ dalam perbualan aplikasi telefon pintar Whatsapp.
Pada pertemuan itu, Justo tidak memperkenalkan namanya sebaliknya hanya mengaku sebagai bekas kakitangan PetroSaudi dan mempunyai maklumat mengenai perniagaan PetroSaudi termasuk transaksi dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Justo turut menunjukkan kepada Brown satu contoh mukasurat emel PetroSaudi dengan lampiran serupa ditunjukkan kepada Mahony. Brown mengambil lima gambar emel itu menggunakan komputer peribadi Apple Macbooknya.
Justo turut menjelaskan kepada Brown, data itu dicuri dan keduanya bersetuju untuk merahsiakan pakatan subahat mereka dan mereka tahu perbuatan itu adalah satu jenayah.
Brown turut menyakinkan Justo yang dia mempunyai hubungan akrab dengan bekas perdana menteri United Kingdom, Gordon Brown dan beberapa ahli politik berpengaruh di Malaysia dan mampu mendapatkan pulangan yang baik bagi data dicuri itu.
Ogos 2014
Pertemuan kedua diadakan sekali lagi di Plaza Athene, Bangkok, Thailand. Justo menunjukkan 20 hingga 30 mukasurat namun tidak menyerahkannya kepada Brown. Brown hanya berminat terhadap satu dokumen, perjanjian antara PetroSaudi dan 1MDB. Brown kemudian mencari pembeli dan mendapatkan Nurul Izzah Anwar, anak perempuan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menawarkan penjualan dokumen itu kepada Anwar melalui Nurul Izzah.
September 2014
Brown menghubungi Justo untuk bertemu sekali lagi di Bangkok bersama Nurul Izzah berikutan Naib Presiden PKR itu didakwa berminat untuk membeli data dicuri namun terdapat kekangan kewangan dan hanya boleh menawarkan kontrak kerajaan pada masa akan datang. Justo bagaimanapun tidak berminat dengan tawaran itu kerana mahukan wang segera.
Februari 2015
Selepas Anwar dipenjarakan, Brown menghubungi Justo dan memberitahu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua akan membantu dalam penjualan data dan mendapatkan wang untuknya. Pua turut membawa Tong Koi Ong, hartawan media yang menguasai akhbar The Edge dan memiliki beberapa firma pelaburan yang menjalankan urusniaga kewangan dan saham.
Koi Ong turut didakwa sebagai orang perantaraan bagi pihak Anwar di Malaysia, dan sebagai penjaga kepada kemewahan yang diperolehi Anwar. Koi Ong juga mampu memperoleh keuntungan sehingga jutaan ringgit, dengan menyiarkan laporan mengenai kontroversi 1MDB, dan menyebabkan pergolakan ekonomi.
Selepas itu, Pua, Koi Ong dan Brown mengatur satu pertemuan dengan Justo dan kali ini, Ho Kay Tat turut bersama di Hotel Fullerton, Singapura di mana Justo bersetuju untuk menjual data dicuri kepada Koi Ong pada harga USD2 juta.
Brown dan Koi Ong menyatakan data dicuri itu akan digunakan bagi menyerang kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Malaysia. Mereka bersetuju Koi Ong dan orang-orangnya akan menyalin dokumen asal daripada Justo sebelum membuat pemindahan wang hari berikutnya kepada Justo. Justo bersetuju dengan syarat itu. Cakera mudahalih kedua diserahkan Justo kepada Brown namun beberapa hari selepas itu, Brown menyatakan data di dalamnya rosak dan Justo membuat penghantaran melalui khidmat kurier DHL satu lagi cakera mudahalih ke London.
“Selepas penyerahan itu, Justo mula mengejar pembayarnya namun diberitahu terdapat masalah membuat pemindahan wang dalam jumlah yang besar kepadanya. Berikutan pelbagai alasan itu menyebabkan Justo semakin resah, apatah lagi mendapati data disiarkan di internet sudah diubahsuai,” kata portal itu dalam pendedahannya.
Justo kini merengkok tiga tahun di penjara di Bangkok selepas mengaku bersalah memeras bekas majikannya.
Justo sebelum ditahan turut menghubungi Brown ketika berdepan hukuman penjara itu namun diberi jaminan oleh wanita itu, segalanya akan selesai dan tiada apa apa akan berlaku terhadapnya kerana Brown mendakwa dilindungi seseorang yang ‘besar’ dan kerajaan Malaysia akan bertukar tidak lama lagi.
Ditanya selanjutnya, Brown mengakui menandatangani beberapa dokumen dengan Mahathir dan memberi jaminan kepada Justo, mereka dilidungi bekas perdana menteri itu. Malah, Brown turut menceritakan bagaimana dia diberi penghormatan tinggi ketika berada di Malaysia dan turut mempelawa Justo untuk bertemu Mahathir di Malaysia.
“Brown turut menyatakan akan berbincang dengan Mahathir dan pembantunya, Sayed Yusof, mengenai data dicuri dan memberi jaminan kepada Justo, ia adalah selamat untuk lelaki itu datang ke Malaysia kerana sokongan Mahathir,” tulis portal itu.
Sumber: MalaysiaDailyOpinion.com