Pemimpin UMNO diseru menggiatkan usaha memberi penjelasan terhadap sebarang kekeliruan yang timbul lantaran parti berdepan serangan musuh dari luar serta segelintir musuh dalaman.
“Hakikatnya organisasi harus berjalan terus, parti harus berjalan terus, pilihan raya akan kita hadapi.
“Musuh di luar serang kita, kadang-kadang musuh di dalam pun tolong serang lebih hebat daripada yang di luar.
“Permasalahan kita bukan musuh di luar, permasalahan kita musuh di dalam, kekeliruan sengaja diwujudkan untuk memecahkan kita (UMNO) dari dalam,” kata Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong, Sabtu.
Menurutnya, mereka harus membantu memberikan penjelasan dan bukannya menambah kekeliruan atau mengeruhkan lagi keadaan.
Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin parti untuk memperbetulkannya dari dalam kata Ahmad Zahid pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Saarani Mohamad.