Sebelum ini penduduk dapat menghirup udara bersih secara percuma, tetapi sekarang terpaksa membelinya pula disebabkan masalah jerebu yang menyebabkan udara kotor.
Jerebu tebal dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi tahap bahaya di beberapa buah wilayah di Kalimantan dan Sumatera menyebabkan penduduk di Pekanbaru, Riau dan Palangka Raya di Kalimantan Tengah terpaksa membeli oksigen untuk mendapatkan udara bersih.
Kedai-kedai yang menjual tabung oksigen mudah alih di kedua-dua daerah itu diserbu oleh penduduk yang sudah tidak tahan lagi bernafas dalam keadaan udara yang dipenuhi zarah-zarah debu yang mengancam kesihatan.
Media-media tempatan melaporkan tabung oksigen yang paling kecil berukuran 500cc berharga Rp48,000 (RM15) hingga yang berukuran tujuh meter padu berharga Rp800,000 (RM240) adalah yang paling mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai.
Tabung oksigen kecil boleh digunakan untuk menyedut oksigen sebanyak antara 10 dan 15 kali, manakala tabung berukuran tujuh meter kubik boleh digunakan untuk lima hingga enam hari, bergantung kepada kekerapan penggunaannya.
Seorang penduduk Pekanbaru, Herlia Santi memberitahu, sebelum ini penduduk dapat menghirup udara bersih secara percuma, tetapi sekarang terpaksa membelinya pula disebabkan masalah jerebu yang menyebabkan udara kotor.
“Kami diberi Allah udara yang bersih untuk bernafas, sekarang perlu beli pula. Begitu terasa sekali, bagaimana hendak bernafas kalau udara pun perlu dibeli,” ujarnya yang mengalami batuk dan sesak nafas sejak beberapa hari lalu.
Seorang penduduk Palangka Raya, Hertianti yang mengandung enam bulan berkata, dia terpaksa membeli tabung oksigen untuk mendapatkan udara bersih kerana bimbangkan kesihatan anak di dalam kandungannya.
Katanya, sudah sebulan dia tidak keluar rumah dan terpaksa menghirup udara segar dari tabung oksigen bagi menjaga kesihatan anaknya.
IPU di Pekanbaru semalam mencatat bacaan 677, melebihi tahap bahaya iaitu 350. Di Palangka Raya pula, bacaan IPU paling tinggi semalam menghampiri 2,000.
Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Riau mencatatkan sebanyak 54,135 penduduk menghidapi penyakit berkaitan pernafasan ekoran pencemaran asap di pelbagai daerah dan pekan di wilayah tersebut sejak sebulan lalu.