MUAR: Enam lelaki warga Nepal ditahan bagi membantu siasatan susulan pembunuhan seorang kerani wanita di Muar petang semalam.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata kesemua suspek berusia antara 25 dan 43 tahun itu ditahan beberapa jam selepas kejadian.
Kerani berusia 29 tahun dan tidak didedahkan nama oleh polis, dipercayai baru pulang dari tempat bekerja di sebuah sekolah apabila dirompak dan dibunuh di rumahnya di Taman Setia Kasih Sungai Terap, kira-kira pukul 2 petang.
Menurut jiran, mangsa mungkin pulang ke rumah pada waktu itu untuk makan tengah hari atau mengambil barangan.
“Namun mereka (jiran) tertanya-tanya apabila enjin kereta mangsa masih tidak dimatikan sehingga pukul 5 petang biarpun sudah masuk ke rumah, menyebabkan mereka meninjau persekitaran rumah,” kata Azman pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata jiran terkejut mendapati pintu rumah depan terbuka lantas menghubungi polis, sebelum mangsa dijumpai terbaring di bilik utama rumah itu dengan lehernya dijerut tali pengikat langsir.
Kata Azman, sejumlah barang kemas, dompet, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri milik mangsa hilang dalam kejadian itu, namun polis tidak menemui sebarang senjata dan kesan pecah rumah di tempat kejadian.
“Buat masa ini, siasatan menjurus kepada rompakan yang bertukar menjadi pembunuhan manakala motif dan punca kematian masih disiasat,” katanya.
Polis turut meminta orang ramai agar menjaga sensitiviti keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan berita palsu dan gambar mangsa di laman sosial Facebook.