JELI: Pemandu bas ekspress yang terbabit dalam kemalangan awal pagi tadi di Kilometer 124, Batu 14 Jalan Jeli-Grik, yang mengakibatkan empat maut, didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Yusoff Jaafar, ketika dihubungi berkata, pemandu utama bas berkenaan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
“Ujian air kencing mendapati pemandu berusia 26 tahun ini positif dadah methamphetamine.
” Siastatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952,” katanya.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, bas yang dipandu lelaki berkenaan dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan serta bergesel dengan sebuah lori muatan papan.
Akibat pergeseran itu, empat penumpang bas maut. Mereka adalah Hasiah Osman, 57 dan anaknya, Mohamad Amir Abdul Rahim, 16; Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19 dan Mohd Syafiq Azrol Azni, 25.
Nahas Jeli: “Mak terlalu rindukan cucu”
BUKIT MERTAJAM: “Mak, ayah dan adik ke Terengganu kerana terlalu rindu dengan cucu sulung keluarga kami, Ahmad Eaden Yusuff Ahmad Idris, yang baru berumur 33 hari.
Tidak sangka is berakhir dengan tragedi,” kata Rusifah Abdul Rahim, 33, ketika ditemui di Kampung Alma, di sini.
Rusifah ialah anak sulung kepada Hasiah Osman, 57, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan dekat Kilometer 14 Jalan Jeli-Gerik, awal pagi ini.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah adik bongsu Rusifah, Amir Abdul Rahim, 16, manakala bapanya, Abdul Rahim Hashim, 68, tidak mengalami kecederaan.
Rusifah berkata, sebelum bapa, ibu dan adik bongsunya bertolak ke Terengganu dengan menaiki bas kira-kira jam 10.30 malam semalam, dia ada menghantar beberapa pesanan mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada adik bongsunya.
Katanya, dia memaklumkan supaya adik bongsunya memberitahunya apabila tiba di lokasi yang dituju, namun terkejut apabila menerima panggilan daripada bapanya kira-kira jam 1.50 pagi tadi memaklumkan mengenai kemalangan itu.
“Sebelum kejadian, saya ada menghubungi mak dan dia memberitahu ingin melihat cucu di Terengganu kerana sudah terlalu rindu sejak ke sana bulan lalu,” katanya. Rusifah yang menetap di Puchong, Selangor bergegas pulang ke kampung bersama suaminya sebaik dimaklumkan berita mengenai kejadian yang menimpa ahli keluarganya.
“Ayah hanya memaklumkan bahawa mak dan adik sudah tiada, namun panggilannya terus terputus hingga saya tidak sempat menyoal apa-apa. Saya terus bergegas pulang ke sini,” katanya.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi tadi, bas yang membawa 30 penumpang dari Taiping, Perak menghala ke Kuala Terengganu terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan papan lapis dari arah bertentangan, mengakibatkan empat maut dan 26 lagi cedera.
Selain Hasiah dan anak bongsunya, dua penumpang lain yang terkorban dalam nahas itu adalah Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19 dan Mohd Syafik Azrol Azni, 25, dari Terengganu.
JELI – Sekurang-kurangnya empat maut selepas sebuah bas yang dalam perjalanan dari Taiping ke Kuala Terengganu terlibat kemalangan di Kilometer 14, Jalan Jeli – Gerik di sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 1.47 pagi itu dipercayai berlaku apabila bas yang dinaiki 12 wanita dan 11 lelaki itu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
Kemalangan itu juga menyebabkan beberapa mangsa yang lain turut mengalami kecederaan parah akibat tersepit.
Jurucakap bomba berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Jeli untuk tindakan lanjut.
“Mereka yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk rawatan rapi,” katanya