“Tolong aku, aku nak balik, diorang culik aku, diorang nak jual aku,” kata seorang remaja perempuan berumur 14 tahun yang mendakwa diculik menggunakan van putih.
Nor Amira Atirah Abdul Majid memberitahu perkara itu ketika menelefon salah seorang ahli keluarga bagi meminta pertolongan sebelum perbualan itu terputus.
Rakaman perbualan selama 3 minit 43 saat itu menjadi viral di media sosial apabila ahli keluarga mangsa meminta bantuan orang ramai.
Nor Amira Atirah dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang pada petang Selasa.
Berdasarkan rakaman perbualan itu, mangsa mendedahkan dia telah diculik oleh penculik menggunakan sebuah van berwarna putih namun tidak sempat melihat nombor pendaftaran kenderaan apabila kepala ditutup dengan kain.
Malah mangsa hanya tersedar apabila dia hanya ternampak papan tanda menuju ke Johor Bahru.
Menurut Amira, dia tidak keseorangan diculik, apabila mendakwa ramai lagi gadis lain turut berada dalam tahanan yang dipercayai untuk dijual.
Sebuah portal pula melaporkan, ibu mangsa menyedari anak perempuannya itu tidak berada di rumah kira-kira jam 10 malam, seterusnya bertindak menghubungi mangsa namun tidak berjaya.
Pihak Polis Diraja Malaysia mengesahkan bahawa pihaknya sedang mengumpul maklumat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.