Sebagaimana yang menjadi spekulasi mengenai rombakan Kabinet sejak beberapa hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan sidang media khas Kabinet petang ini.
Difahamkan, sidang media yang akan diadakan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada pukul 3.15 petang ini dijangka mengumumkan mengenai rombakan Kabinet.
Menurut laporan pada Ahad, sekurang-kurangnya tujuh pelantikan akan dibuat, berikutan kekosongan jawatan yang disebabkan faktor politik dan insiden tragik sejak tiga bulan lalu.
Menurut sumber Putrajaya, rombakan Kabinet itu mungkin melibatkan sehingga empat jawatan menteri dan tiga timbalan menteri.
Antara kekosongan jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selepas Datuk Seri Ahmad Bashah dilantik Menteri Besar Kedah.
Kekosongan jawatan timbalan menteri bakal membuka peluang kepada Ahli Parimen yang lebih muda untuk menimba pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.
Satu lagi kekosongan jawatan menteri adalah sejak tempoh dua penggal senator bagi Datuk Seri Idris Jala berakhir pada Ogos lalu.
Rombakan Kabinet mungkin melibatkan empat jawatan timbalan menteri, dengan salah satunya merupakan jawatan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berikutan kematian Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sarawak.
Menurut sumber, sekurang-kurangnya salah satu jawatan timbalan menteri akan diberikan kepada wakil rakyat Sarawak, disebabkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri pada Mei lalu.
Budiman Mohd Zohdi yang baharu dilantik selepas kemenangan BN pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Sungai Besar pada 18 Jun lalu antara yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan timbalan menteri.
Rombakan Kabinet yang terakhir adalah pada Ogos tahun lalu yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal digugurkan dari Kabinet.