Yang di-Pertuan Agong berkata deklarasi menuntut penyingkiran Perdana Menteri yang diserahkan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini tidak mengikut Perlembagaan, maka baginda tidak mahu terbabit.
Datuk Seri Najib Razak berkata Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menjelaskan perkara itu kepada Dr Mahathir dalam pertemuan di Istana Anak Bukit, Alor Setar 15 September lalu.
“Dalam pertemuan itu, baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir.
“Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong turut menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri urusan yang dibuat oleh PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).
“Ini kerana deklarasi yang dibuat oleh PPBM adalah tidak mengikut Perlembagaan. Sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya,” lapor Najib dalam satu kenyataan malam tadi.
Terdahulu, Dr Mahathir menghadap Agong untuk menyerahkan dokumen Deklarasi Rakyat yang mengandungi 1.4 juta tandatangan yang mahu Najib meletak jawatan.
Pengiring Mahathir, Khairuddin Abu Hassan berkata pertemuan antara baginda dan bekas perdana menteri itu berlangsung lebih satu jam.
Deklarasi Rakyat dilancarkan Dr Mahathir bersama 40 tokoh masyarakat lain pada Mac tahun ini. Dokumen itu ditepis pimpinan BN sebagai sia-sia.