Jabatan Pengangkutan Jalan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang cuba merosakkan imej anggotanya, Mohd. Ridzuan Yusoff yang maut digilis lori ketika melakukan operasi di Plaza Tol Setia Alam, Selangor, Rabu.
Perkara itu disuarakan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Datuk Wan Ahmad Uzair Wan Ismail berikutan terdapat sebuah blog dan netizen yang bertindak mengecam serta memfitnah mangsa kononnya tidak berintegriti kerana mengambil rasuah.
Ujarnya, mangsa yang bertugas sebagai penguatkuasa gred 19 itu seorang yang berdedikasi dan berintegriti tinggi selain mudah mesra dengan rakan-rakan malah namanya telah dicalonlan untuk menerima Anugerak Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi bulan November ini.
“Sebelum ini, beliau pernah mendapat Anugerah Pekerja Contoh pada bulan Julai lalu. Rakan-rakan serta ketua jabatannya juga menyatakan beliau sangat tegas dalam kerja dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak seperti yang disebut oleh netizen.
“Kenapa pihak berkenaan mengeluarkan kenyataan begitu ketika beliau sudah meninggal? Mereka sepatutnya membuat aduan kepada kita dan bukan bertindak sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Akademi JPJ Melaka di sini Khamis.
Menurut Wan Ahmad Uzair, tindakan itu juga susulan permintaan ahli keluarga Mohd. Ridzuan yang mahu pihak jabatan mengambil tindakan tegas terhadap netizen sekali gus membersihkan nama mangsa serta jabatan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, prosedur standard operasi (SOP) dibuat secara berterusan dengan keadaan semasa yang semakin mencabar bagi meningkatkan mutu kerja pegawai dan anggota JPJ.
Pada Rabu, Mohd. Ridzuan maut selepas digilis treler ketika melakukan operasi di Plaza Tol Setia Alam, Selangor kira-kira pukul 1 petang.