PELABUHAN KLANG: Seramai 10 orang melecur akibat terkena letupan bunga api di majlis sambutan tahun baharu di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada Sabtu malam.
Difahamkan kejadian dipercayai berpunca apabila bunga api yang digunakan meletup sebelum ia berada di udara dan mengenai mereka yang berhampiran.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, tiga mangsa melecur teruk manakala tujuh yang lain melecur ringan di kaki.
“Yang melecur ringan diberi rawatan oleh pasukan perubatan di tempat kejadian sementara yang melecur teruk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut,” katanya.