Dalam hati bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin agak-agaknya sudah boleh merasakan beliau bakal dipinggirkan apatah lagi selepas pendedahan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengenai pakatan sulit antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DAP yang mahu mengangkat Datuk Seri Mukhriz Mahathir jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya.
Dan mungkin atas sebab itu, maka beliau mengakui kemajuan yang dilaksanana oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN), menerusi pimpinan yang silih berganti kerana Malaysia bermula sebagai sebuah negara yang tidak mempunyai apa-apa selepas merdeka.
“Waktu itu ilmu yang ada kurang, tiada kilang, sekolah pun tidak sampai ke universiti, hidup melarat…tapi kalau lihat waktu ini, sedikit sebanyak hasil perjuangan itu mengangkat negara kita ke suatu tahap yang boleh dibanggakan,” katanya dipetik Bernama ketika berucap pada Program Bicara Rakyat PPBM di Kampung Batu Sawar, Sungai Lembing, Pahang, kelmarin.
Walaupun beliau cuba menutup malu dengan menyatakan agak janggal apabila penyokong PPBM mendengar dirinya berkata sedemikian kerana seolah-olah beliau masih berada dalam kerajaan, namun ia adalah kebenaran.
“Tapi kalau perkara itu merit, itu adalah meritnya. Apa yang benar itu benar. Dalam tempoh berpuluh tahun dengan dasar kerajaan dipelopori UMNO dan BN negara kita menjadi negara maju, terkenal dan dalam konteks Islam, dikatakan negara contoh,” katanya.
Tidak dapat dinafikan, begitu tinggi pujiannya kepada BN dan UMNO seolah-olah beliau mahu menyatakan bahawa Muhyiddin masih rindukan UMNO, iaitu parti keramat bangsa Melayu ini.
Muhyiddin mungkin sedar sukar baginya untuk menjadi Perdana Menteri berdasarkan pendedahan daripada Tunku Abdul Aziz itu apatah lagi cabaran Tunku Abdul Aziz agar Lim Kit Siang membuat akuan bersumpah bagi menafikan dakwaan beliau, tidak bersahut sehingga kini.
Sebaliknya pemimpin DAP itu bertindak balas dengan tindakannya mahu menyaman Utusan Malaysia dan The New Straits Times, bukannya Tunku Abdul Aziz.
Begitu juga dengan kes yang hangat diperkatakan iaitu skandal yang mengaitkan Muhyiddin dengan bekas isteri orang, Nika Gee Siew Yee.
Kes itu telah dibawa ke pengetahui Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan dokumen penting mengenainya sudah diserahkan oleh sebuah badan bukan kerajaan, Jaringan Melayu Malaysia (JMM).
Sememangnya pendedahan Tunku Abdul Aziz itu menjadikan Muhyiddin kelihatan agak janggal kerana sebagai pemimpin kanan yang mengepalai PPBM, beliaulah sepatutnya diberikan keutamaan dalam apa-apa jua perkara.