KUALA LUMPUR: Sebuah restoran di Jalan Changkat Bukit Bintang, Bukit Bintang, di sini, musnah dalam satu kebakaran tengah hari tadi.
Bomba yang menerima laporan kejadian itu pada jam 1.46 tengah hari, mengejarkan tiga jentera bersama 24 anggota ke lokasi untuk memadam kebakaran.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata tiga pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, Pudu dan KLCC bergegas memadamkan kebakaran restoran berkeluasan kira-kira 1,600 kaki persegi itu.
“Jentera pertama sampai ke lokasi pada jam 1.59 petang dan api pada masa itu sudah terlalu marak, bagaimanapun kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke premis berhampiran.
“Selepas lebih sejam usaha memadam kebakaran dilakukan, api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.13 petang. Bagaimanapun kebakaran itu memusnahkan keseluruhan bangunan restoran terbabit,” katanya.
Menurut jurucakap bomba, pasukan forensik bomba sedang menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kebakaran itu.
Katanya, kebakaran itu tidak membabitkan sebarang mangsa dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan.