Saya bingung dan keliru tentang kurangnya pemahaman tentang hubungan antarabangsa seperti yang baru-baru ini ditunjukkan oleh pihak tertentu dalam dakwaan mereka yang tidak berasas mengenai Lawatan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak ke Amerika Syarikat.
Sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri, saya rasa ia adalah tanggungjawab saya untuk memberi respons kepada beberapa kenyataan yang dibuat oleh beberapa ahli politik pembangkang, dengan tujuan untuk mengklarifikasi fakta dan pada masa yang sama mendidik mereka tentang beberapa asas protokol diplomatik dan hubungan antarabangsa.
Semua negara, termasuk Malaysia, mempunyai pengkategorian yang berlainan untuk lawatan oleh kenamaan asing. Bagi Amerika Syarikat, lawatan dibahagikan kepada lima kategori, iaitu lawatan negara, lawatan rasmi, lawatan kerja rasmi, lawatan kerja dan lawatan peribadi.
Seperti yang telah dijelaskan melalui siaran akhbar oleh Kementerian Luar Negeri pada 24 Ogos 2017, lawatan YAB Perdana Menteri ke Amerika Syarikat pada 11-13 September 2017 adalah lawatan kerja, dan dibuat atas jemputan Presiden Donald Trump. Oleh itu, tidak ada alasan untuk mana-mana pihak untuk menyalahtafsirkan sifat lawatan tersebut.
Walau bagaimanapun, ia amatlah dikesali bahawa sesetengah ahli politik pembangkang sengaja cuba untuk mengelirukan rakyat dengan mendakwa Kerajaan telah menggambarkan lawatan itu sebagai lawatan rasmi dan bukannya lawatan peribadi. Jika pembangkang telah melakukan lebih banyak penyelidikan, mereka akan menyedari bahawa Kerajaan Malaysia telah bersifat telus dan jelas mengenai status lawatan itu sejak berita itu pertama kali diberitahu.
Berdasarkan protokol kontemporari Amerika, Presiden Amerika Syarikat boleh memanjangkan jemputan kepada Ketua Negara atau Ketua Kerajaan untuk lawatan kerja resmi atau lawatan kerja. Tempoh dan komponen kedua-dua kategori lawatan ini dipertimbangkan berdasarkan asas lawatan demi lawatan. Jemputan seperti itu biasanya adalah untuk perbincangan yang lebih substantif, dan terpisah dari unsur-unsur istiadat dalam lawatan negara atau lawatan rasmi. Lawatan kerja akan merangkumi mesyuarat kerja, dan penglibatan media adalah tidak wajib.
Walau apa pun status kunjungan itu, undangan dari Presiden AS juga menandakan bahawa AS sebagai kerajaan tuan rumah secara rasmi mengiktiraf kenamaan asing itu, serta pentingnya kunjungan itu dalam konteks hubungan dua hala.
Sebaliknya, lawatan peribadi berlaku apabila Ketua Negara atau Ketua Kerajaan tiba di Amerika Serikat tanpa undangan dari Presiden AS. Lawatan peribadi tidak termasuk lawatan ke White House.
Sebaik tiba di Pangkalan Gabungan Tentera Udara AS Andrews, YAB Perdana Menteri dan YBhg. Datin Sri Rosmah Mansor diberikan penghormatan penuh bersesuaian dengan lawatan kerja.
Di White House, YAB Perdana Menteri disambut dengan mesra oleh Presiden Trump sendiri sebaik beliau tiba. Kedua-dua pemimpin itu bertemu selama 20 minit di Pejabat Oval yang bersejarah itu, diiringi oleh diplomat paling senior mereka. Ini diikuti dengan mesyuarat delegasi selama 40 minit di Bilik Kabinet, yang mana media AS dan antarabangsa telah membuat liputan sekitar 5 minit untuk sesi terbuka itu.
Ahli-ahli pentadbiran Presiden Trump yang paling senior dan berpengaruh hadir di mesyuarat delegasi itu, terutamanya Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Staf John Kelly, Penasihat Keselamatan Negara HR McMaster, Pengarah Majlis Ekonomi Negara Gary Cohn, Penasihat Kanan Jared Kushner, dan Duta Besar AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir. Ini menunjukkan penghormatan AS yang sangat tinggi terhadap YAB Perdana Menteri dan delegasinya.
Peristiwa-peristiwa di Pangkalan Gabungan Andrews dan juga di White House sangat selaras dengan protokol AS untuk sebuah lawatan kerja. Malah, YAB Perdana Menteri juga dihantar secara peribadi oleh Presiden Trump ketika ingin meninggalkan White House, sejajar dengan keinginan Presiden itu sendiri. Ini adalah luar daripada kebiasaan protokol yang gagal diambil kira oleh ahli politik pembangkang.
Dakwaan pembangkang bahawa kunjungan itu adalah kunjungan peribadi kerana YAB Perdana Menteri tidak tinggal di Blair House juga adalah mengelirukan. Blair House ditawarkan oleh Presiden Amerika Syarikat untuk kenamaan asing untuk lawatan negara, rasmi atau lawatan kerja rasmi.
Walau bagaimanapun, beberapa pemimpin sebelum ini telah menolak untuk menginap di sana semasa lawatan mereka atas pelbagai sebab, termasuk PM India Narendra Modi. Sekurang-kurangnya seorang pemimpin asing juga telah menggunakan Trump International Hotel untuk penginapan semasa lawatan kerja beliau ke Washington DC awal tahun ini.
YAB Dato’ Sri Najib telah konsisten dalam memperkuat hubungan AS-Malaysia semenjak beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri, tanpa mengira siapa yang berada dalam White House. Perhatian juga wajar diberikan kepada hakikat bahawa Presiden Barack Obama telah melawat Malaysia sebanyak dua kali. Ini, dan hakikat bahawa lawatan ini berlaku kurang dari satu tahun selepas Presiden Trump memegang jawatan, menunjukkan bahawa Malaysia adalah penting kepada AS dan juga kemesraan hubungan dua hala kita, jauh berbeza dengani zaman bekas perdana menteri tertentu.
Kesimpulannya, serangan yang tidak wajar terhadap YAB Perdana Menteri mencerminkan ceteknya pemikiran mereka yang membuat tuduhan-tuduhan ini dengan pemahaman singkat mereka mengenai hubungan dua hala kita dengan Amerika Syarikat. Saya mencadangkan bahawa ulasan dan pemerhatian masa depan mengenai bagaimana YAB Perdana Menteri menjalankan dasar luar Malaysia dibuat berdasarkan fakta, dan bukannya spekulasi semata-mata.
Datuk Seri Reezal Merican
14 September 2017