TIMBALAN Editor Sin Chew Daily, Lim Swee Guan menulis mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya pada minggu lalu setelah menerima aduan cubaan memurtadkan umat Islam.
Artikel yang bertajuk ‘Bermain Api’ disiarkan akhbar berkenaan pada 8 Ogos 2011 dalam ruangan Sudut Pendapat di halaman 26.
JAIS dan Exco Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali adalah ancaman besar kepada pihak pembangkang untuk mempertahankan kuasa mereka di negeri itu.
Jika jabatan itu dan Hasan tidak dikawal, mungkin perbuatan menggeledah dan memecah masuk majlis jamuan makan malam anjuran gereja-gereja akan berlarutan dan berulang.
Rekod lampau JAIS dan Hasan juga bukannya begitu baik. Sebelum ini, jabatan itu pernah mengharamkan penjualan arak di kedai-kedai serbaguna di kawasan Shah Alam.
Ia turut melarang pengambilan pekerja-pekerja Islam bekerja di tempat-tempat hiburan yang menjual arak dan melakukan tangkapan terhadap pasangan yang meraikan Hari Kekasih.
Jabatan itu juga pernah menangkap bekas Mufti Perlis, Prof .Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dengan alasan beliau mengajar tanpa tauliah.
Apa yang membuat kita tidak faham adalah berikutan tiadanya pendirian yang sama di kalangan pemimpin kerajaan Selangor.
Sehari selepas serbuan itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meluahkan perasaan kecewa dengan kejadian itu dan meminta JAIS menghantar laporan kepadanya.
Seorang lagi anggota Exco, Teresa Kok pula memberitahu, pada hari tersebut, semua Exco telah mengadakan perbincangan. Hasan dan wakil JAIS yang turut hadir memberitahu mereka tidak tahu-menahu tentang serbuan itu.
Bagaimanapun, tidak disangka pada malamnya, Hasan telah menghantar kenyataan kepada pihak media massa bagi mempertahankan tindakan JAIS itu. Apa yang berlaku ini, menimbulkan persoalan mengenai siapa sebenarnya yang bercakap bohong?
Besar kemungkinan kerajaan negeri sudah tidak dapat mengawal Hasan lagi. Dengan itu, jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor yang disandang beliau perlu ditarik balik. Bagaimanapun tindakan itu masih tidak mencukupi, sepatutnya beliau tidak lagi dilantik sebagai Exco.
Dalam pada itu, isu menggeledah gereja itu juga akan membolehkan semua pihak mengetahui apakah pendirian Pas dan adakah parti itu boleh melakukan perubahan seperti dijanjikan.
Sebelum ini, berlaku isu melarang penjualan tiket judi di Kelantan dan kerajaan Kedah pula keluarkan arahan melarang aktiviti pusat hiburan pada bulan Ramadan (telah ditarik balik) dan semua ini menunjukkan bahawa puak konservatif dalam Pas masih kuat.
Kita juga berharap pegawai-pegawai agama diberi latihan semula supaya mereka memahami perbezaan antara aktiviti penyebaran agama dan kegiatan amal di gereja.
Sepatutnya, bukan penganut Kristian dibenarkan menghadiri aktiviti amal dan program ditaja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di gereja bagi mewujudkan perasaan saling faham memahami antara berlainan agama.