Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak terkilan dengan kekalahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu tetapi apa yang membuatkan dirinya kesal adalah kerana kekalahan itu disebabkan penyelewengan fakta yang sebenarnya.
Jelas beliau, menang dan kalah adalah adat pertandingan tetapi hatinya amat ralat kerana kempen memburukkan pemimpin dan janji manis yang tidak mungkin dapat dilaksanakan telah merosakkan sistem demokrasi.
Lihat video:
https://youtu.be/E0j_sVlCY4c
“Pada saya, menang kalah itu adat pertandingan, saya tidak ralat kalah kerana pihak satu lagi ada agenda yang lebih baik tetapi sebaliknya terasa dalam hati saya bukan agenda, bukan soal dasar yang diadili tetapi kempen memburukkan pemimpin dan janji-janji manis yang tidak mungkin dapat dilaksanakan mereka.
“Apa yang kita lakukan iaitu kejayaan Dasar Transformasi Nasional telah membuahkan hasil yang tidak dapat disangkal. Malangnya segala yang kita buat secara positif, kebaikan-kebaikan yang kita telah laksanakan tidak diberi aspirasi yang sepatutnya,” jelas beliau dalam ucapan Perasmian Mesyuarat Cawangan UMNO dan sayap-sayap bahagian Pekan.
Ujar beliau, kempen yang bersifat terlalu menyerang peribadi dan menabur fitnah kebencian serta janji manis yang sebahagian besarnya jelas tidak akan dapat dilaksanakan telah menyebabkan kekalahan kepada UMNO dan BN.
“Bandingkan apa yang mereka kata waktu berkempen… ekonomi Malaysia buruk… Malaysia ini gagal, negara akan bankrap, hutang negara bertimbun-timbun, tetapi tiga hari selepas mereka menang, ekonomi Malaysia kukuh, rezab kita 430 bilion…, takkanlah dalam masa tiga hari sahaja negara yang dikatakan menghampiri bankrap boleh menjadi negara yang ekonominya kukuh.
“Mereka ini ada lampu ajaibkah… lampu aladinkah… gosok-gosok lampu tu dan dalam tiga hari tidak perlu selamatkan Malaysia lagi sedangkan sebelum ini mereka kata perlu selamatkan Malaysia, hari ini ekonomi Malaysia adalah baik dan kukuh yang boleh membawa negara lebih maju lagi,” jelas beliau.
Najib seterusnya berkata keluarga beliau juga dijadikan sasaran terutama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang difitnah kononnya mencampuri urusan dan menentukan keputusan dibuatnya.
Sedangkan, menurut Najib, tidak pernah sekali pun beliau mengatakan ‘tunggu dulu, saya perlu tanya isteri’ kerana semua keputusan melibatkan pentadbiran negara atau parti diputuskan pada mesyuarat Kabinet atau pun Majlis Tertinggi parti.
Walaupun sedih dengan kekalahan itu, Najib berkata sebagai seorang mengamalkan prinsip demokrasi beliau menerima keputusan yang dibuat rakyat dan menyerahkan kuasa dengan baik.
Katanya luahan hatinya itu dibuat di Pekan, kerana penduduk di sini mengenali dirinya yang sudah 42 tahun berkhidmat di daerah ini, tempat bermulanya karier beliau dalam arena politik. –MediaUMNO
https://pakdin.my/tag/umno
https://pakdin.my/tag/najib-razak