…………….
Pengambilalihan dengan harga yang tinggi, 10 kali ganda dari penilaian asal yang dibuat oleh bekas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim.
Harga yang dibayar tidak termasuk hutang yang ditanggung oleh SPLAS bernilai RM1.6 billion yang akan ditanggung oleh kerajaan Selangor.
Dengan harga yang tinggi untuk mengambil-alih, rakyat mungkin terpaksa menanggung tarif air yang lebih tinggi dan pembatalan pemberian air percuma.
……………..
Syarikat air milik Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membayar RM2.55 bilion untuk mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), kata Menteri Besar, Amirudin Shari.
Pengumuman itu dibuat 2 hari selepas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa negeri itu akan membeli SPLASH pada harga RM2.7 bilion dalam urus niaga yang didakwa menguntungkan seorang “Tan Sri” memiliki 30% saham dalam syarikat itu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan persekutuan semasa pentadbrian Barisan Nasional mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan SPLASH dan kerajaan negeri hanya berjaya menyelesaikan pengambilalihan 3 syarikat konsesi air lain.
Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor menolak cadangan untuk negeri itu menanggung 40% kos pengambilalihan dan bakinya dibayar kerajaan persekutuan.
Amirudin dalam sidang media hari ini berkata, RM2.55 bilion itu adalah selepas pemberian diskaun sebanyak 28%, berdasarkan nilai buku bersih SPLASH sebanyak RM3.54 bilion setakat 30 Jun lalu.
Katanya, Air Selangor akan membuat bayaran pendahuluan RM1.9 bilion, manakala baki RM650 juta akan dibayar secara ansuran selama 9 tahun.
“Ia adalah pembayaran jangka panjang yang membolehkan Air Selangor beroperasi pada kos munasabah dan memastikan tarif air tidak membebankan rakyat,” katanya dalam majlis penyerahan surat tawaran pengambilalihan SPLASH oleh Air Selangor.
Surat tawaran itu diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman kepada Pengerusi SPLASH Holdings, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.
Amirudin berkata, perjanjian itu dimuktamadkan selepas rundingan selama setahun antara Air Selangor dan SPLASH dan pengambilalihan itu tidak membabitkan sebarang dana kerajaan negeri.
Katanya, ia ada detik bersejarah kerana akhirnya penyelesaian dicapai selepas 10 tahun. Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008.
Beliau berkata, nilai pengambilalihan itu adalah adil kerana ia mematuhi prinsip “kesanggupan pembeli dan persetujuan penjual” serta ia dinilai oleh penilai bebas dari Selangor dan kerajaan persekutuan.
Katanya, pengambilalihan itu juga akan menyelesaikan hutang tertunggak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kepada SPLASH yang berjumlah RM4.7 bilion sehingga 30 Jun lalu.
……….
Tag: SPLASH
https://pakdin.my/tag/splash/