HUJAN lebat yang disertai dengan ketulan air batu menggemparkan orang ramai di beberapa kawasan di Kuching hingga Kota Samarahan, hari ini.
Kejadian bermula kira-kira jam 4 petang itu disedari pengguna jalan raya yang melalui Jalan Tabuan menghala ke Kota Samarahan apabila ketulan air terkena bumbung kenderaan mereka.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Joseph berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu kereta untuk balik ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan.
Joseph berkata, pada mulanya dia hairan mendengar bunyi kuat seperti batu menghentam bumbung keretanya.
Dia kemudiannya menyedari sesuatu yang pelik apabila melihat air batu bertaburan di atas jalan raya.
“Saya memperlahankan kenderaan dan cuba mencari tempat selamat untuk berhenti kerana bimbang ketulan air batu itu memecahkan cermin kereta.
“Selepas berhenti berdekatan pokok besar, saya keluar untuk memastikan apa yang saya lihat itu dan ternyata ia adalah air batu,” katanya ketika menghubungi NSTP, hari ini.
Joseph berkata, sebelum ini, dia pernah mengalami kejadian sama yang berlaku di Kuching, hampir 20 tahun lalu.
“Pada 2000, saya pernah terkena hujan air batu ketika menunggang motosikal di kawasan Padungan di Kuching dan tidak sangka pula, hari ini dapat sekali lagi menyaksikan kejadian serupa,” katanya.
Antara kawasan yang dilanda hujan batu hari ini ialah di Tabuan Laru, Tabuan Jaya, Stutong, Jalan Kuching-Samarahan serta beberapa kawasan di Kota Samarahan.
Lihat video:
https://youtu.be/arAiDGK3uCc