Seramai 19 maut dan 14 masih kritikal selepas dipercayai meminum arak jenama Kingfisher Beer, Mandalay Whisky serta Grand Royal Whisky buatan India dan Myanmar di sekitar Lembah Klang sejak semalam.
Mangsa mengalami beberapa symptom seperti muntah, sakit perut, pengsan dan meninggal dunia dalam tempoh lapan hingga 12 jam.
Simptom yang timbul dalam masa tidak sampai sehari selepas mengambil minuman mengandungi alkohol sebanyak lapan hingga 40 peratus itu.
Bagaimanapun tidak dapat disahkan sama ada arak yang diminum kesemua mangsa adalah tiruan, telah tamat tempoh atau telah dicampur dengan benda asing sehingga berubah menjadi racun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat ialah 51 orang dengan 45 orang di Selangor dan enam lagi di Kuala Lumpur.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga individu merupakan warga tempatan manakala 48 lagi terdiri daripada warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.
“Selain 19 yang maut, 14 pesakit berada dalam keadaan kritikal, sembilan dimasukkan ke wad untuk rawatan manakala sembilan lagi dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Noor Hisham, kesemua mangsa menunjukkan tanda-tanda keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan, sesak nafas, kekejangan dan tidak sedarkan diri.
Jelas beliau, tanda-tanda dan gejala awal keracunan akan dialami bermula sehari atau dua hari selepas tarikh akhir mengambil minuman tersebut.
“Laporan polis telah dibuat oleh pihak kementerian untuk mengenal pasti pengedar, pengilang dan punca keracunan sekaligus menyekat pembekalan minuman keras yang tercemar di pasaran,” katanya.
Sementara itu menurut sumber, bir jenama Kingfisher kerap dirampas di pelabuhan kerana cuba lari daripada cukai, manakala dua jenis lagi dipercayai dibotolkan di negara ini.
“Dua lagi jenis minuman keras itu dibotolkan di negara ini dengan campuran bahan yang lain, oleh kerana itu, jumlah peratusan alkoholnya lebih tinggi daripada yang dibenarkan,” katanya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor pula berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun berdasarkan keterangan yang diambil daripada mangsa, kesemua mereka dimasukkan ke hospital selepas meminum tiga jenis minuman keras berkenaan.
………..
https://pakdin.my/arak