UMNO mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan segera pencabulan prinsip Rule of Law kerana ianya menjadi malapetaka besar ke atas prinsip pemisahan kuasa (separation of power) yang diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi.
Malah kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mereka yang bertanggungjawab menegakkan The Rule of Law, telah mengotori dan mengoyakkan jubah integriti mereka sendiri.
“ Hari ini, campur tangan eksekutif begitu mencengkam badan kehakiman. Penghakisan dan pencabulan ke atas prinsip ‘Rule of Law’ sedang berlaku sekarang.
“Apa yang berlaku sekarang adalah contesting Authority atau mencabar autoriti. Banyak tindakan mereka mengenepikan Perlembagaan dan keluhuran undang-undang,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2018, di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC, sebentar tadi.
Tambahnya, hari ini, negara semakin berundur dengan wujudnya pendakwaan terpilih dan dilakukan berasaskan kepada fahaman politik.
“Ada kes yang masih dalam perbicaraan, tiba-tiba digugurkan begitu sahaja. Bak kata pepatah, ‘Tiba di perut dikempiskan. Tiba di mata dipicingkan. Tiba di dada dibusungkan.’ Malahan tidak dapat tanduk, telinga pula dipulas,” tegasnya.
Beliau juga meminta diberhentikan segala gertakan murahan, apalagi mengaibkan Orang Kena Tuduh (OKT) melalui perbicaraan media massa dan media social.
Justeru itu katanya, UMNO hendaklah memastikan tindakan yang melanggar Rule of Law ini mesti dihentikan.
Tegas Ahmad Zahid, setiap wakil rakyat UMNO sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah berperanan lebih berkesan untuk menyekat gejala ini.