Adunan antara meritokrasi dan keadilan sosial menjadi asas untuk pembentukan masyarakat majmuk yang berjaya di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, jika satu daripada prinsip itu diabaikan, ia akan menjadikan masyarakat dan negara tidak seimbang.
Perdana Menteri merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi, satu jihad ekonomi bumiputera, anjuran bersama Gagasan Badan Ekonomi Melayu, GABEM dan Universiti Teknologi Mara, UITM Shah Alam.
Menurut Datuk Seri Mohd Najib, walaupun dipimpin dasar ekonomi baru DEB, kerajaan sentiasa berlaku adil kepada masyarakat bukan melayu.
Beliau menjelaskan, Malaysia tidak boleh berpegang kepada konsep meritokrasi semata-mata seperti yang dicadang pihak tertentu kerana ia akan memberi ketidakadilan kepada masyarakat luar dan pinggir bandar yang majoritinya orang Melayu, yang masih memerlukan perhatian kerajaan.
“Sebab itulah kita mesti adunkan antara meritokrasi dan keadilan sosial, kalau tidak, meritokrasi saja langsung tak ada, apa akan terjadi pada negara kita? We will be nation of mediocrative maknannya kita tidak mengejar excellent tak boleh juga. Kita tak berlaku adil kalau yang bukan Melayu ada kebolehan, otaknya bergeliga, kerjanya rajin takkan kita nak ketepikan, tak boleh juga, tapi anak di luar bandar tak boleh kita pinggirkan mesti juga kita bantu.”