Saya sedih dan bimbang membaca berita semakin ramai yang kehilangan kerja, bukan sahaja pegawai Kerajaan, badan berkaitan malah sektor swasta pun turut terjejas.
Ada yang saya baca, pasangan suami isteri bekerja di tempat sama, kedua-dua diberhentikan mengejut, kini resah macam mana nak tanggung anak-anak kecil.
Punca utama perkara ini berlaku kerana ketiadaan kepimpinan oleh Kerajaan hari ini.
Mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas dan menyakinkan dalam menguruskan ekonomi negara. Pelabur asing tak berani melabur, dana asing keluar, kilang tak boleh beroperasi, pekerja terpaksa diberhentikan.
Kerajaan Barisan Nasional dahulu sentiasa memperjuangkan nasib golongan pekerja.
Mungkin ramai tak sedar, tapi setiap kali kita sebut dulu bahawa ekonomi negara di zaman Kerajaan Barisan Nasional dapat pengiktirafan dunia, diunjurkan meningkat, pelaburan langsung asing banyak dan sebagainya, kesan langsungnya adalah kepada rakyat, terutamanya golongan pekerja.
Kerajaan BN juga telah kenalkan bantuan dari segi jaringan keselamatan sosial melalui Skim Insurans Pekerjaan (SIP).
Saya ingat lagi Kerajaan PH semasa jadi pembangkang dulu, tabur fitnah kata Kerajaan BN waktu itu tak ada duit, sampai perkenalkan SIP sebab nak curi duit gaji pekerja pula.
Walhal sebenarnya kita sediakan bantuan, daripada caruman bulanan itu, kalau hilang pekerjaan, para pekerja dapat bantuan kewangan selain dibantu untuk cari pekerjaan baru.
Alhamdulillah, pekerja yang terbabit akan dapat bantuan interim SIP RM600 untuk 3 bulan, semoga dapat bantu sedikit sebanyak urusan keluarga dan perbelanjaan harian.
Saya doakan semua yang ditimpa musibah seperti 170 pekerja di Johor ini dan juga ribuan lagi yang kehilangan kerja akibat dasar Kerajaan baru, semoga dipermudahkan urusan oleh Allah SWT. Amin, Insya-Allah.