KENYATAAN MEDIA
1. Kenyataan Datuk A Kadir Jasin bahawa 40 ahli Parlimen UMNO akan menyertai PPBM adalah usaha terdesak pimpinan parti berkenaan untuk menutup kekurangan mereka yang hanya ada 13 kerusi di Dewan Rakyat.
2. Ini banyak dipersoalkan oleh rakan dalam pakatan bagaimana sebuah parti yang jumlah ahli Parlimennya yang kecil boleh menerajui kerajaan.
3. Saya percaya kenyataan penyertaan itu tidak benar dan hanya andaian Kadir Jasin. Selain bertujuan memecahbelahkan UMNO, ia juga untuk mengulangi impian dan harapan sebenar Tun Dr Mahathir Mohamad. Justeru saya berharap ahli UMNO tidak terpengaruh dengannya kerana saya yakin Ahli Parlimen UMNO tetap setia dengan parti.
4. Bagaimanapun kenyataan Kadir Jasin saya sifatkan sebagai provokasi dan tidak masuk akal. Apa yang dinyatakannya juga sebagai suatu usaha beliau untuk menunjukkan kononnya PPBM sudah semakin kuat.
5. Hakikat sebenarnya kenyataan itu mengambarkan bahawa PPBM semakin gusar dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan. Oleh kerana itu beliau terpaksa menyatakan 40 Ahli Parlimen UMNO akan meninggalkan UMNO menyertai PPBM.
6. Malah kenyataan dari pimpinan PPBM ini juga jelas menunjukkan sudah ada persaingan dan perlumbaan membina pengaruh antara PPBM dan PKR termasuk parti lain dalam Kerajaan Pakatan Harapan. Semua ini ekoran kehadiran Anwar Ibrahim.
7. Sebab itu kenyataan Kadir Jasin adalah gambaran ada perancangan pimpinan PPBM mahu menyekat kemaraan Anwar Ibrahim untuk mengambilalih jawatan Perdana Menteri. Jadi Anwar Ibrahim harus berhati hati dalam perkara ini dan segeralah bertindak sebelum terlambat.
8. Sudah tentu perancangan sebenar pucuk pimpinan tertinggi PPBM untuk terus berkuasa walaupun terpaksa mengikut arahan parti DAP.
YB DATO’ DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Ketua Penerangan UMNO Malaysia