Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands awal pagi tadi membuat laporan polis mendakwa telah diganggu secara agresif dan kasar oleh seorang lelaki, dipercayai Timbalan Menteri.
Ramli Mohd Nor membuat laporan di Balai Polis Sungai Koyan pada jam 3.42 awal pagi tadi, setelah perjalanan pulangnya dari berkempen disekat lelaki terbabit yang dikenali sebagai Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.
Katanya, Tengku Zulpuri dengan nada agresif dan kasar meminta seorang pembantunya menyerahkan telefon bimbit, dipercayai mempunyai rakaman sebuah kenderaan kerajaan negeri yang disalahgunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Ketika kejadian itu, saya dan pembantu dalam perjalanan pulang dari menjalankan aktiviti kempen di sekitar kawasan Pos Lenjang dan Pos Titom.
“Sebaik menghampiri Kampung Dayok, kami disekat di pertengahan jalan oleh seorang lelaki yang berdiri di tengah jalan.
“Apabila kami berhenti, kami disapa secara agresif dengan nada kasar meminta kami menyerahkan telefon bimbit salah seorang pembantu saya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Ramli, bagi meredakan keadaan beliau turun dari kenderaan itu dan menyedari lelaki tersebut adalah Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri.
Katanya, berlaku provokasi ketika itu, yang mana Tengku Zulpuri memanjat kenderaan dinaikinya dengan tujuan merampas telefon bimbit pembantu beliau.
“Timbalan Menteri ini turut mengeluarkan kata-kata secara kasar terhadap tiga penumpang dan pemandu dalam kenderaan tersebut.
Sementara itu, tular sebuah video yang menunjukkan Tengku Zulpuri bertengkar dengan beberapa jentera BN, yang dikatakan tidak berpuas hati kerana mengoyak pelekat sebuah kenderaan milik kerajaan negeri yang digunakan untuk berkempen membantu calon PH.
Dalam video itu kelihatan Tengku Zulpuri begitu agresif memarahi beberapa lelaki yang dipersalahkannya kerana cuba menghalang rombongan PH berkempen.
Bagaimanapun, kata-kata amarahnya itu dibalas balik oleh lelaki terbabit, dengan berkata, jika tidak dicabut pelekat itu masakan mereka dapat membongkar penipuan yang dilakukan PH, yang menggunakan kenderaan kerajaan bagi tujuan kempen politik.
Namun, ditengking semula oleh Timbalan Menteri itu dengan berkata, mereka hanya perlu merakamkan nombor pendaftaran kenderaan itu sahaja, bukan ‘mengoyak’ (Sebenarnya menanggalkan) kain pelekat pada badan kenderaan berkenaan sehingga ternampak nama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.