JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) pada Selasa mengesahkan permohonan pensijilan halal sebuah premis makanan yang terkenal dengan ayam goreng di Jalan Changkat Jong di sini ditolak selepas didapati tidak mematuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.
Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIPk Yusri Abdul Rani berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Perak pada 27 Disember lalu selepas didapati pemilik restoran berketurunan India berkenaan tidak komited dengan prosedur Pensijilan Halal Malaysia.
“Restoran berkenaan didapati tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam aspek kebersihan dan tiada lantikan penyelia halal. Bekalan bahan mentah di premis berkenaan didapati tiada masalah,” katanya ketika dihubungi di Teluk Intan, Perak.
Beliau mengulas surat yang tular menerusi WhatsApp yang menyatakan permohonan pensijilan halal premis makanan terkenal di Teluk Intan itu gagal selepas didapati tidak komited dengan prosedur Pensijilan Halal Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata premis berkenaan diminta tidak menggunakan sebarang penandaan halal pada premis makanan, bagaimana pemilik masih boleh memohon semula pensijilan halal itu.
Sementara itu, Yusri berkata sebuah restoran makanan daun pisang di Hutan Melintang di Bagan Datuk dikesan menggunakan tanda halal tidak sah dalam hasil operasi yang dijalankan JAIPk bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 17 Januari lalu.
“Pemilik restoran berkenaan didapati beragama Hindu dan premis itu mempunyai penandaan halal tetapi ia bukan pemegang sijil halal dan tindakan diambil oleh pihak KPDNHEP mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya yang meminta orang ramai agar lebih berhati-hati dan peka dengan premis makanan yang mempamerkan tanda halal terutamanya jika dimiliki bukan Islam. – BERNAMA