KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) — Kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya amat kesal dengan kenyataan Mohamad Sabu itu bahawa pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad membuat kenyataan itu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar.
Muhyiddin berkata pemimpin PAS itu turut membuat kenyataan biadab dengan mendakwa Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan.
“Beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan. Kenyataan seperti itu adalah manifestasi kealpaan Mohamad Sabu terhadap sumbangan besar pemimpin Melayu terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air,” katanya.
Muhyiddin menegaskan Mohamad wajar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana membuat kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab itu.
“Beliau (Mohamad Sabu) lupa bahawa hasil perjuangan mereka (pemimpin Melayu), bangsa Melayu telah mendapat suntikan semangat dan kesedaran politik luar biasa untuk bangkit menentang penjajah Inggeris dan Malayan Union.
“Hasil sumbangan tokoh-tokoh besar pemimpin Melayu inilah, bangsa Melayu bangkit bersatu melalui persatuan-persatuan Melayu, yang kemudiannya melahirkan wadah Umno untuk memperjuangkan kemerdekaan negara serta mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata hasil perjuangan suci barisan pemimpin Melayu berkenaan, negara bukan sahaja mencapai kemerdekaan, malah kedudukan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan hak-hak yang sah bagi kaum lain telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya perkara asas ini yang menjadi teras pembentukan negara Malaysia yang merdeka, telah terpahat dalam perlembagaan dan terpelihara sehingga ke hari ini.
“Hakikatnya, penyatuan bangsa Melayu dan persefahaman murni dengan kaum-kaum lain yang dipelopori oleh pemimpin kita terdahulu telah membolehkan negara kita mencapai kemerdekaan dalam masa yang singkat tanpa pertumpahan darah.
“Hakikat sejarah ini tidak boleh dipadamkan atau ditulis semula oleh sesiapapun,” tegas Muhyiddin.
Muhyiddin menyifatkan Mohamad sebagai buta sejarah apabila beliau sanggup bersubahat dengan orang zalim dan pembunuh dengan mengagungkan komunis.
“Perjuangan komunis bukanlah untuk membebaskan rakyat daripada belenggu penjajahan. Sebaliknya, mereka hanya berminat untuk membentuk sebuah negara komunis dengan pemerintahan kuku besi,” jelas beliau.
Beliau berkata rakyat Malaysia yang mengingati dan memahami sejarah tentunya tidak lupa tentang keganasan komunis yang telah mencetuskan rusuhan, pembunuhan orang awam yang tidak berdosa dan perbalahan kaum sejurus selepas tentera Jepun menyerah kalah.
Jika dilihat sejarah hitam kekejaman pemerintahan rejim komunis di beberapa buah negara di rantau ini sewaktu negara kita bergelut menentang kegiatan subversif Parti Komunis Malaya, kita pastinya bersyukur kerana rakyat berbilang kaum di negara kita telah memilih untuk tidak menyokong perjuangan komunis,” katanya.
KUALA LUMPUR 26 Ogos – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mencetuskan kontroversi baru apabila menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.
Menurutnya, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.
Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mohamad turut mendakwa Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.
Beliau juga berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya kerana dakwanya, sejarah yang tertulis pada hari ini tidak memaparkan fakta sebenar selain hanya memihak kepada UMNO.
“Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati itu polis British. Hat (yang) serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan yang sebenar, yang serang Bukit Kepong itu Mat Indra (Muhammad Indera). Dia Melayu tapi semua sejarah itu ditutup.
“Jins Shamsudin (Tan Sri) buat filem, Jins Shamsudin itu orang UMNO. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang itu pula penjahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung,” katanya dalam ceramah itu.
Dalam tragedi berdarah Bukit Kepong yang bermula kira-kira pukul 5 pagi pada 23 Februari 1950, satu persatu anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka gugur selepas diserang dari setiap sudut oleh 200 pengganas komunis, malah sebahagian daripada mangsa dicampak hidup-hidup ke dalam api.
Mohamad mendakwa semua sejarah negara adalah bohong apabila pegawai British diangkat sebagai pejuang kemerdekaan manakala yang melawan British menjadi penjahat.
“Semua sejarah negara kita bohong, pegawai British jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi penjahat. Siapa pegawai British? Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman itulah pegawai British. Tapi bila tiba bulan merdeka hanya mereka yang ditonjolkan. Kalau begitu UMNO seorang sajalah yang merdeka, betul tidak,” tuduhnya.