Satu-satunya keadaan berlaku peristiwa membabitkan pergaduhan antara kaum dan agama adalah pada 13 Mei 1969.
Dan sejarah telah mencatatkan bahawa DAP adalah sebahagian besar punca peristiwa tersebut dengan melakukan provokasi ke atas orang Melayu.
………..
PADA 15 Mac lalu, pengganas kulit putih Brenton Tarrant telah melepaskan tembakan membabi buta di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch, New Zealand.
Ia mengorbankan 50 orang dan mencederakan sekitar 50 lagi. Semuanya adalah umat Islam yang berkumpul untuk solat Jumaat.
Ini merupakan satu tragedi kepada New Zealand, umat Islam dan kemanusiaan sejagat. Ia bukan hanya kerana umat Islam yang terbunuh tetapi kerana membunuh manusia sedemikian rupa adalah satu jenayah kejam.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, antara paling terkesan dan lantang mengecam tindakan ganas ini. Di sebuah negara yang keganasan selalunya datang dari alam, tindakan tersebut tentulah mengejut dan menyedihkan beliau.
Kita di Malaysia lebih sedih apabila insiden menyayatkan hati ini telah menjadi bahan kepada golongan liberalis agama dan politik tanah air untuk menangguk di air yang keruh.
DAP melalui wakil rakyatnya, Chew Chong Sin, mendakwa pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch, New Zealand harus menjadi pengajaran kepada Malaysia mengenai perlunya mengekang gejala ekstremisme.
Menurut beliau persepakatan UMNO dan Pas serta minat mereka terhadap kaum dan agama adalah tidak bertanggungjawab sama sekali. Untuk berlaku adil, Chong Sin telah menarik balik kenyataan akhbar tersebut. Ini kali kedua pemimpin kanan DAP menarik balik kenyataan akhbar mengenai perpaduan umat Islam.
Sebelum itu, Lim Guan Eng turut menarik balik kenyataan akhbar bahawa kerjasama UMNO-Pas adalah pengisytiharan perang kepada bukan Melayu.
Ketika DAP menggunakan tragedi ini untuk memomokan bahawa kerjasama UMNO-Pas sebagai ancaman kepada keamanan negara; Beliau mungkin lupa bahawa selama lebih 60 tahun UMNO menjadi peneraju kerajaan tidak pernah orang Islam melakukan tembakan rambang ke atas orang bukan Islam.
Malahan huhungan antara kaum dan agama sentiasa berada dalam keadaan baik dan akrab, walaupun sekali sekala ada diadu domba oleh segelintir pemimpin DAP dan Hindraf.
Satu-satunya keadaan berlaku peristiwa membabitkan pergaduhan antara kaum dan agama adalah pada 13 Mei 1969. Dan sejarah telah mencatatkan bahawa DAP adalah sebahagian besar punca peristiwa tersebut dengan melakukan provokasi ke atas orang Melayu.
Seorang penulis portal Malaysiakini beragama Islam pula mengambil kesempatan mencemuh dan menyindir pemimpin Islam di negara ini dan membandingkan dengan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.
Tulis beliau, “Secara umum Jacinda menunjukkan sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh orang Islam. Tetapi biasalah. Orang Islam lebih sibuk dengan amalan yang dirasakan mereka lebih afdhal iaitu mengeji, mempersenda – malah mengkafirkan – orang yang tidak sehaluan dengan mereka.”
Secara licik juga penulis ini menambah, “Jacinda itu jugalah yang pernah meninggalkan aliran kefahaman agamanya kerana mendapati ia bertentangan dengan pandangannya terutama terhadap komuniti gay.”
“Tetapi dia jugalah yang datang bertemu dengan mangsa dan waris mangsa serangan pengganas itu dengan berbaju hitam dan bertudung hitam juga. Dia menunjukkan kebersamaan dan menampakkan kesedihan serta berkongsi rasa dengan orang yang kehilangan individu disayangi di dua masjid terbabit.”
Menggunakan perbandingan watak Perdana Menteri yang berhadapan dengan kekejaman kemanusiaan dengan perjuangan umat Islam di negara ini adalah sangat tidak relevan; kecuali hanya bertujuan mencemuh dan menghina gerakan Islam di negara ini.
Apakah kerana Ardern bersimpati dengan pembunuhan ke atas rakyatnya yang beragama Islam, maka ia menjadikan beliau lebih baik dari pemimpin Islam di negara ini yang bercakap mengenai nilai-nilai Islam?
Apakah kerana Ardern yang menyokong gerakan gay telah menentang pembunuhan ke atas orang Islam, maka ia menjadikan beliau lebih baik daripada pemimpin Islam di negara ini yang menolak usaha menghalalkan seks songsang di negara ini? Atau kita perlu halalkan gerakan gay kerana Ardern seorang penyokong gay telah bersimpati kepada umat Islam?
Kedua-dua contoh di atas menunjukkan betapa mudahnya orang menggunakan tragedi orang lain untuk memuaskan nafsu pemikiran songsang mereka.
Tidakkah mereka sedar bahawa kekejaman tersebut berlaku di sebuah negara yang rakyat, pemimpin dan sistem pendidikannya dianggap progresif, liberal dan demokratik?
Iktibar sebenar daripada kekejaman ini ialah pengganas bukan sahaja lahir daripada sistem yang dianggap Barat sebagai kolot, jumud dan ekstrim seperti di Asia Barat, tetapi juga lahir di negara-negara yang kononnya terbuka, liberal dan demokratik.
Insiden ini juga bukanlah peristiwa yang jarang berlaku kepada negara-negara pengamal demokrasi Barat. Pada 2017, Alexandre Bissonnette telah melakukan tembakan rambang di sebuah masjid di bandar raya Quebec, Kanada dan mengakibatkan 6 orang terbunuh dan 19 lagi cedera.
Banyak lagi peristiwa serangan ke atas rumah masjid di negara-negara Barat walaupun tidak mengorbankan jiwa.
Rupanya pengganas kaum dan agama tidak lahir di kem Janda Baik UMNO atau Markas Usrah Pas taman Melewar seperti yang cuba digambarkan oleh DAP dan puak liberalis dalam negara.
Ia lahir di negara-negara yang mengamalkan kebebasan tanpa had agama dan dalam kalangan orang kulit putih yang kononnya menganut kebebasan dan keadilan sejagat.